CANTIK mata memandang apabila ruang kosong kini menempatkan deretan tanaman yang hijau dan pelbagai warna.
CANTIK mata memandang apabila ruang kosong kini menempatkan deretan tanaman yang hijau dan pelbagai warna.
Nurul Husna Mahmud


KEBANYAKAN isu di bandar utama serata dunia adalah mengenai jejak karbon tinggi selain kurangnya litupan hijau dalam membantu menangani isu pemanasan global.

Satu inisiatif menarik dibawa beberapa gerakan arkitek landskap dunia apabila memperkenalkan konsep kebun bandar sebagai alternatif dalam membantu menangani masalah kurangnya kawasan litupan hijau di bandar-bandar utama.

Tidak terkecuali Kuala Lumpur apabila menerusi inisiatif Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL), Program Kebun Kejiranan Bandar diperkenalkan dalam kawasan kepadatan tinggi seperti perumahan awam di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Menurut panel penilai dan juga Pensyarah Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Osman Mohd Tahir, LA21 KL berperanan sebagai fasilitator dan penghubung antara masyarakat setempat dengan kerajaan serta agensi swasta dalam mengembangkan program Kebun Kejiranan Bandar di pelbagai kawasan di Kuala Lumpur.

"Program Kebun Kejiranan Bandar menggalakkan penyertaan komuniti memulakan inisiatif hijau yang sesuai dengan persekitaran kejiranan untuk dibangunkan sebagai kebun bandar dengan aktiviti yang juga memberi manfaat kepada komuniti.

"Ia antara usaha menyokong dasar kerajaan seperti Dasar Kebun Komuniti dalam membangunkan kebun komuniti bandar berpandukan amalan pertanian baik dan gaya hidup sihat menuju kepada masyarakat karbon rendah.

"ini juga serinig dengan sasaran mencapai bandar rendah karbon dan menangani isu global membabitkan pemanasan iklim dunia yang semakin meruncing setiap hari," katanya.

Kata Dr Osman, Kebun Kejiranan Bandar ini juga ibarat serampang dua mata apabila bertindak menyokong Dasar Agro Makanan termasuk isu sekuriti makanan apabila komuniti dapat menghasilkan sumber makanan sendiri di kawasan kejiranan mereka.

SUBUR sayur kailan ditanam oleh salah seorang ahli komuniti, Rohani Arshad.
SUBUR sayur kailan ditanam oleh salah seorang ahli komuniti, Rohani Arshad.

"Selain komuniti dapat meningkatkan nilai estetik kawasan atau laman kejiranan mereka, penghuni bandar juga mempelajari gaya hidup lestari iaitu menghasilkan makanan menerusi sumber yang ada.

"Mula-mula belajar mengenai kaedah tanaman, kemudian beralih kepada penghasilan input seperti baja kompos dan racun sendiri bagi memastikan kelangsungan aktiviti berkebun. Tanpa perlu mengeluarkan belanja atau mengharapkan bantuan pihak lain kerana mereka sudah mampu bergerak sendiri," katanya.

Namun dalam memastikan setiap program itu mencapai objektifnya, akui Dr Osman, masih terdapat kriteria tertentu dinilai sebelum memenuhi syarat dalam Kebun Kejiranan Bandar LA21 KL.

KERJA menata rias kawasan plot tanaman dilakukan sendiri oleh ahli komuniti berkenaan.
KERJA menata rias kawasan plot tanaman dilakukan sendiri oleh ahli komuniti berkenaan.

"Sebenarnya sebelum pelaksanaan sesuatu program Kebun Kejiranan Bandar LA21 KL, terdapat beberapa prosedur perlu dipatuhi termasuklah mengenal pasti tapak, mendapat kelulusan, mematuhi undang-undang sedia ada dan mengemukakan kertas cadangan yang lengkap.

"Ketika ini contoh projek Kebun Kejiranan Bandar terbaik ialah komuniti dari Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Sri Perlis 2.

"Komuniti ini mengoptimumkan penggunaan tanah yang cukup terhad selain berjaya menjana pendapatan sampingan menerusi aktiviti berkebun ini. Mereka bukan sahaja tidak perlu membeli hasil luar malah turut menjual tanaman mereka kepada masyarakat berdekatan," katanya.

Sementara itu wakil komuniti berkenaan, Latiff Abu Hassan berkata, sejak aktiviti berkebun itu dimulakan pada tahun 2015, komuniti terbabit yang juga dikenali Jawatankuasa Kebun Kejiranan Bandar Perumahan Awam Seri Perlis 2 sentiasa mengambil pendekatan mengembangkan projek komuniti kecil kepada sesuatu dapat memberi impak lebih baik dan menguntungkan ahlinya..

"Pada tahun 2015 kami memulakan aktiviti berkebun ini di bawah inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Inisiatif itu memfokuskan kelompok B40 menjalankan aktiviti berkebun bagi menghasilkan sumber makanan dan mengurangkan perbelanjaan isi rumah bagi keperluan itu.

TANAMAN sayuran juga boleh menjadi penghias laman.
TANAMAN sayuran juga boleh menjadi penghias laman.

"Bermula dengan kumpulan kecil, komuniti ini semakin berkembang. Bagi melicinkan penjagaan kebun itu, kami mengasingkannya mengikut plot dan setiap plot dijaga individu tertentu.

"Menariknya menerusi aktiviti berkebun ini juga hubungan komuniti bertambah erat selain menjana pendapatan tambahan bagi ahli menerusi aktiviti jualan hasil tanaman.

"Perancangan terdekat, kami sedang mengkomersialkan produk bunga telang sebagai produk herba yang memberi kebaikan kepada kesihatan. Kami berharap jualan ini dapat menjadi pendapatan sampingan kepada ahli," katanya.

Menjelaskan sokongan diterima, kata Latiff, projek ini sebenarnya memberi pengiktirafan kepada komuniti itu sendiri apabila berjaya menjayakan inisiatif kerajaan.

ANTARA plot diusahakan penduduk yang juga komuniti kebun kejiranan bandar.
ANTARA plot diusahakan penduduk yang juga komuniti kebun kejiranan bandar.

"Pada mulanya kami terima bantuan dari segi kaedah tanaman dan input pertanian baik. Apabila ramai sudah tahu kami terima banyak anugerah termasuk anugerah lestari oleh agensi tertentu, ramai buka mata.

"Kami banyak terima lawatan dan tawaran kerjasama termasuklah pihak industri yang mahu membantu kami meningkatkan hasil terutama tanaman. Biarpun kami ini antara perumahan awam terpadat dan memiliki kawasan tanah paling terhad, tetapi itu tidak menghalang kami untuk memenuhi kawasan sekitar dengan tanaman hijau.

"Paling penting ialah nilai kualiti hidup terutama kesihatan warga kami banyak berubah menjadi lebih sihat dan positif selepas terbabit dengan program terbabit," katanya.

Ketika ini komuniti itu digerakkan hampir 20 sukarelawan yang terdiri daripada penduduk perumahan awam Seri Perlis 2. Pihaknya sudah berjaya mengusahakan enam plot termasuklah tanaman sayuran, buah-buahan, pokok bunga dan herba.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 7:01 AM