PRESIDEN/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
PRESIDEN/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

AGROBANK yakin peruntukan dana menerusi program Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) yang diagihkan mengikut keperluan industri makanan utama mampu memenuhi keperluan semasa dan secara beransur-ansur memperkukuhkan kedudukan sekuriti makanan negara.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya berbesar hati kerana terus diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk menerajui sektor pertanian negara menerusi produk pembiayaan dan solusi kewangan patuh syariah dan memenuhi keperluan komuniti pertanian termasuk yang menjalankan aktiviti perhuluan dan penghiliran.

"Usaha berterusan Agrobank menerusi program pembiayaan rantaian penuh sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara yang bertujuan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan," katanya dalam kenyataan.

Program DPAKM adalah kemudahan pembiayaan yang ditawarkan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan jumlah pembiayaan sehingga RM5 juta bagi pengusaha ternakan ayam, ruminan dan sayuran.

Program ini menawarkan tempoh pembiayaan yang kompetitif sehingga 8.5 tahun pada kadar keuntungan serendah 3.0 peratus.

Pada enam bulan pertama, Agrobank akan memberikan moratorium secara automatik pada kadar keuntungan sifar peratus.

Pelanggan akan mula dikenakan kadar keuntungan serendah 3.0 peratus hanya pada bulan ketujuh pembiayaan dan seterusnya.

Katanya, Agrobank optimis dalam menyokong Dasar Agromakanan Negara.

"Kami bergerak seiring mandat dan perancangan kerajaan serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) khususnya, bagi membangunkan beberapa pelan strategik sebagai solusi kepada isu krisis jaminan bekalan makanan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 7:08 AM