MOHAMAD Idham Nawawi.
MOHAMAD Idham Nawawi.
Sofyan Rizal Ishak


CELCOM Axiata Berhad (Celcom) mengumumkan pelantikan Mohamad Idham Nawawi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa pada 1 September depan.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Michael Kuehner yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan menjelang 31 Ogos ini.

Menurut kenyataan syarikat telekomunikasi itu, penggantian terbabit adalah sebahagian daripada pelan asal dua tahun lalu bagi melantik bakat dalaman untuk fasa transformasi seterusnya.

“Idham adalah pakar telekomunikasi terkemuka dengan pengalaman operasi dan perniagaan lebih daripada 25 tahun dalam industri di Malaysia dan serantau serta pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan dan beberapa organisasi tempatan dan antarabangsa termasuk pelbagai syarikat pemula,” kata kenyataan itu, hari ini.

Idham kini memegang jawatan Ketua Pegawai Korporat Kumpulan yang bertanggungjawab bagi Pengurusan Pengawalseliaan, Komunikasi Korporat dan Kelestarian, Hal Ehwal Korporat dan Hubungan Kerajaan bagi Kumpulan serta menguruskan Pejabat CEO Kumpulan dan Pejabat Program dan Tadbir Axiata.

Beliau juga mengetuai Pejabat Program Transformasi bagi Axiata 2.0 bermula 2012 hingga 2015 di mana ia menjadi pendorong kepada pengembangan Axiata daripada perniagaan mudah alihnya kepada perkhidmatan digital baru dan perniagaan menara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 5:30 PM