Datuk Izzaddin Idris.
Datuk Izzaddin Idris.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Axiata Group Berhad (Axiata) mengumumkan peletakan jawatan Datuk Izzaddin Idris sebagai Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 31 Mei 2022.

Peletakan jawatannya itu adalah berdasarkan penamatan bersama kontrak perkhidmatannya dengan Axiata.

Lembaga Pengarah turut mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Telekomunikasi dan Naib Presiden Eksekutif Kumpulan, Dr Hans Wijayasuria serta Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Vivek Sood sebagai pemangku CEO bersama sementara berkuat kuasa 1 Jun 2022.

Kedua-duanya akan mengekalkan jawatan dan portfolio sedia ada.

Lembaga Pengarah dijangka tidak membuat perubahan struktur tambahan atau kepimpinan kanan dalam masa terdekat.

Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, Lembaga Pengarah menzahirkan terima kasih kepada Izzaddin di atas kebijaksanaan, kepimpinan dan sumbangannya menerajui kumpulan sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, Izzaddin mengambil alih jawatan itu pada 1 Januari 2021 semasa kemuncak krisis Covid-19, selepas berkhidmat sebagai Timbalan CEO sejak Januari 2020.

"Beliau memainkan peranan penting dalam membentuk tindak balas strategik kumpulan untuk menjamin kestabilan dan kelangsungan perniagaan di tengah-tengah cabaran besar merentasi pelbagai aspek operasi kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahril Ridza berkata, berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah Axiata sejak November 2016, Izzaddin berusaha keras menterjemahkan Visi Axiata 5.0 menjadi kenyataan.

Katanya, Izzaddin memimpin pasukan, selain membina budaya Axiata yang moden, tangkas dan digital untuk menghasilkan beberapa pencapaian bermakna sehingga meletakkan kumpulan dalam trajektori mantap bagi meraih bidang pertumbuhan baharu bagi masa depan mampan.

"Lembaga pengarah memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa Axiata sentiasa mempunyai budaya perancangan pelapis yang mantap dan kami komited ke arah memastikan peralihan pelancar serta mengekalkan momentum yang dicapai Axiata setakat ini menerusi Visi Axiata 5.0.

"Pelantikan Hans Wijayasuria dan Vivek Sood sebagai pemangku CEO Kumpulan bersama akan memastikan kelangsungan dalam situasi ini.

"Dengan pelantikan kedua-duanya, kami mempunyai dua tokoh industri yang amat biasa dengan perniagaan Axiata. Kedua-duanya diterapkan dengan budaya kami dan amat komited untuk menjayakan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 6:46 PM