ABDUL Wahid dan Shazalli bergambar bersama peserta SL1M Celcom.
ABDUL Wahid dan Shazalli bergambar bersama peserta SL1M Celcom.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Berhad mempunyai hak sepenuhnya memilih calon terbaik bagi meneraju Malaysian Airlines System Berhad (MAS NewCo).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, Khazanah berhak untuk menentukan penstrukturan semula MAS terutama bagi melaksanakan pelan pemulihannya.

Beliau berkata, pelantikan Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS NewCo juga dilihat sebagai salah satu cara untuk memulihkan semula syarikat penerbangan negara itu.

“Khazanah membuat 12 pelan pemulihan dan ia adalah komprehensif untuk meletak asas yang kukuh demi kejayaan masa depan syarikat penerbangan negara kita.

“Bagaimanapun, kami menyerahkan sepenuhnya kepada Khazanah untuk memilih individu yang betul-betul berkelayakan yang mereka rasa mampu menerajui MAS NewCo bagi memulihkan syarikat itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) CELCOM, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CELCOM Axiata Berhad, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly.

Abdul Wahid berkata, Khazanah turut memperuntukkan dana sebanyak RM6 bilion bagi pelan pemulihan MAS.

Jumaat lalu, Khazanah mengumumkan Mueller sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAS dan dipilih sebagai CEO MAS NewCo. Pelantikan Mueller itu akan berkuat kuasa 1 Januari 2015.

Selain itu, Khazanah juga mengumumkan pelantikan Shazalli Ramly sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah MAS.

Khazanah menyatakan pelantikan terbabit dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 4 Disember 2014.

Shazalli enggan mengulas mengenai pelantikannya sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah MAS dan akan memberi komen pada 1 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:02 AM