PEKERJA ladang di bawah SDP akan diberikan vaksin di tiga PPVIN.
PEKERJA ladang di bawah SDP akan diberikan vaksin di tiga PPVIN.

SIME Darby Plantation Berhad (SDP) membuka Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) ketiga di Estet Tennamaram, Bestari Jaya, Selangor.

Ia memberi kemudahan kepada 6,500 pekerja dari ladang sawit, getah dan sektor pertanian lain di Selangor.

Ia tidak hanya terhad untuk kakitangan SDP sebaliknya menerima pekerja daripada syarikat lain di negeri ini.

Pengarah Urusan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, pekerja ladang menjadi nadi penting sektor pertanian negara dan mereka perlu diberi peluang mendapatkan vaksin.

"Namun, kita juga perlu pastikan mereka memahami tujuan pemberian vaksin dan prosesnya bagi memastikan ia dilakukan dengan persetujuan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bagi memastikan pemahaman penuh dan persetujuan diberi vaksin, SDP menghubungi pekerja untuk menjelaskan keseluruhan proses vaksinasi dan menekankan ia perlu dilakukan secara sukarela.

"Ini membabitkan siri komunikasi dengan pekerja tempatan dan pekerja asing dalam bahasa ibunda masing-masing. Untuk SDP, ia termasuk penggunaan bahasa pertuturan pekerja dari beberapa negara Asia termasuk Indonesia, India, Bangladesh, Nepal, Sri Lanka, Myanmar, Kemboja dan Pakistan.

"Kami juga bekerja rapat dengan kedutaan masing-masing untuk membantu pekerja mengemukakan sebarang kebimbangan atau pertanyaan mengenai proses vaksinasi dengan wakil kerajaan mereka," katanya.

Awal bulan ini, SDP membuka dua PPVIN di ladang Rajawali dan Lavang di Bintulu, Sarawak untuk pemberian vaksin kepada lebih 4,000 pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 7:15 AM