SETEL adalah antara produk bukan bahan api diperkenalkan PDB. FOTO arkib NSTP
SETEL adalah antara produk bukan bahan api diperkenalkan PDB. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Bhd (PDB) percaya bahawa langkah-langkah yang telah diambil bagi meningkatkan segmen bukan bahan api akan mewujudkan serta meningkatkan lagi nilai kepada para pemegang sahamnya.

Pengerusi Datuk Anuar Ahmad berkata pengembangan tawaran makanan dan minuman Kedai Mesra, aplikasi Setel dan perkhidmatan logistiknya termasuk kejayaan dalam platform barangan e-dagang sendiri adalah bukti untuk menyampaikan janji kepada pelanggan dan menjamin masa depan organisasi tersebut.

"Disebalik usaha untuk memastikan perniagaan teras kami kekal selamat, boleh dipercayai dan cekap, gangguan terhadap rantaian bekalan global sejak dua tahun lepas telah menonjolkan titik kelemahan dalam perniagaan serta negara.

"Kami menyesuaikan diri dengan cepat kepada cabaran ini dengan bekerja rapat bersama pembekal kami untuk mengukuhkan serta mempelbagaikan liputan rantaian bekalan," katanya, sambil menambah ini telah membolehkan PDB mengoptimumkan pengurusan inventori dan meminimumkan pendedahan kepada ketidakstabilan harga minyak sambil memastikan keselamatan bekalan kepada pelanggan terjamin.

Syarikat berkenaan terus memacu inovasi dalam bidang teras bahan api dan pelincir dengan membina kredibiliti yang mantap menerusi jenama Petronas.

"Pada 2021, kami menukarkan tawaran diesel di semua stesen kami di seluruh negara kepada spesifikasi Euro 5, dengan itu, menyediakan pelanggan kami dengan opsyen bahan api yang bersih.

"Pada masa yang sama, kami secara aktif menawarkan pelanggan penyelesaian tenaga yang lebih bersih seperti gas asli cecair (LNG) dan biodiesel B20, memenuhi permintaan mereka yang semakin meningkat serta bagi menyokong aspirasi kumpulan Petronas terhadap pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya dalam laporan tahunan PDB 2021.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Osman Rani menambah PDB mampu memanfaatkan peluang pertumbuhan yang muncul pada tahun ini, selepas berjaya menarik semula jualan dalam perniagaan komersil dan petroleum cecair (LPG) dengan menyasarkan sektor ekonomi utama.

"Dengan latar belakang yang menggalakkan ini, PDB memasang strategi untuk mengekalkan kedudukannya yang unggul dalam segmen perniagaan teras disamping secara agresif mengembangkan aliran pendapatan bukan bahan api.

"Kami yakin bahawa strategi kumpulan untuk meningkatkan bahan api bersih, perniagaan tenaga boleh diperbaharui serta bukan bahan api dan mengembangkan operasi digital kami dijangka akan memberikan pertumbuhan yang kukuh ke hadapan," kata Azrul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 4:54 PM