PDB  akan meningkatkan aplikasi Setel untuk pengalaman pengguna yang lebih baik.
PDB akan meningkatkan aplikasi Setel untuk pengalaman pengguna yang lebih baik.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Bhd (PDB) akan memberi tumpuan kepada segmen bukan bahan api selain meneroka e-dagang bagi meningkatkan pendapatan dalam keadaan pasaran minyak dan gas yang berdepan ketidaktentuan ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Md Arif Mahmood berkata, pihaknya menawarkan kedua-dua produk pelincir dan barang dagangannya di Shopee.

"Kami kini memberi tumpuan bukan sekadar kehadiran fizikal untuk menjana pendapatan. Kami berharap dengan program vaksinasi, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan untuk meningkatkan kegiatan ekonomi yang dijangka berlaku separuh kedua tahun ini," katanya pada sidang media maya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) PDB, semalam.

Bagi tahun kewangan 2020, PDB merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM386.4 juta walaupun berdepan pasaran sedikit perlahan kerana pandemik Covid-19.

Menurutnya, pihaknya tetap berhati-hati dengan tinjauan terhadap segmen runcit walaupun terdapat ketidakpastian yang disebabkan oleh peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 selain perjalanan antara negeri yang terhad.

Katanya, kumpulan melihat keyakinan dan peningkatan jumlah pengguna pada bulan Mac namun ia tetap berhati-hati terhadap sekatan yang akan dikenakan ketika Aidilfitri.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, tahun lalu, perniagaan runcitnya terus melabur untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan mengembangkan dan menaik taraf rangkaian stesennya.

Azrul berkata, pengenalan Petronas Primax 97 dengan bahan bakar Pro-Race mencatatkan maklum balas positif.

"Kami juga memanfaatkan segmen makanan sedia dimakan dengan memperkenalkan Makan @ Mesra, dan akan menambah kepelbagaian menu secara brperingkat bergantung kepada permintaan pelanggan.

"Selain itu, digitalisasi Portal Penebusan Mesra dan mengintegrasikannya dengan aplikasi Setel, menjadikan penebusan lebih mudah bagi pelanggan. Perniagaan runcit akan terus memberikan penyelesaian inovatif yang memenuhi perubahan keperluan pelanggan kumpulan," katanya.

Azrul berkata, PDB turut mempelbagaikan portfolio produknya dengan memasukkan pemasaran gas asli cecair (LNG) sebagai pilihan bahan bakar yang lebih bersih.

Melalui Sistem Paip Maya (VPS) Kumpulan Petronas, ia kini menjadi yang pertama di Malaysia yang membekalkan LNG melalui kapal tangki jalan raya kepada pelanggan di luar talian.

Selain itu, ia juga memasarkan LNG untuk industri marin melalui kapal LNG bunker pertama (LBV) MV Avenir Advantage yang membolehkan pemindahan kapal ke kapal - yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Dalam pada itu Azrul berkata, sebagai tambahan kepada empat perniagaan teras, PDB akan memanfaatkan usaha digital dan inovatifnya termasuk Setel, penyelesaian e-pembayaran pertama di Malaysia yang membolehkan pembelian bahan bakar terus dari peranti mudah alih; ROVR, perkhidmatan mengisi minyak mudah alih pertama di Malaysia untuk pelanggan komersial; dan PRYSM, jenama barang dagangannya yang baru dilancarkan.

"Kami terus meningkatkan aplikasi Setel untuk pengalaman pengguna yang lebih baik. Ciri-ciri baru termasuk dompet Setel di mana pelanggan kini dapat menggunakan aplikasi untuk membayar di Kedai Mesra di seluruh negara serta Deliver2Me di mana pembelian terpilih dari lebih 140 kedai Kedai Mesra akan dihantar terus ke kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 7:03 AM