Pesawat Malaysia Airlines yang menggunakan
Pesawat Malaysia Airlines yang menggunakan
BERNAMA

Sepang: Malaysia Aviation Group (MAG) akan mengembangkan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) bagi kumpulan anak syarikatnya antara tempoh enam bulan hingga setahun, kata Ketua Pegawai Kelestarian MAG, Philip See.

Beliau berkata ketika ini beberapa perbincangan sedang diadakan bagi memastikan semua organisasti bersedia melaksanakan komitmen syarikat untuk mencapai pembangunan sosio-ekonomi serta pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

"Kami sedang berbincang tetapi jawapannya adalah ya. Kami merancang melancarkan penerbangan penumpang dan kargo (menggunakan SAF).

"Kami menjalankan ujian senario hari ini bagi memastikan anak syarikat kami bersedia melaksanakannya," katanya pada sidang media selepas pelancaran penerbangan penumpang pertamanya menggunakan SAF antara Kuala Lumpur dan Singapura bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Penerbangan Malaysia Airlines MH603 berlepas ke Singapura pada tengah hari ini menggunakan SAF.

Bahan api itu dibekalkan oleh cabang pemasaran dan dagangan Petronas yang berpangkalan di Eropah, Trading (UK), manakala Petronas Dagangan Bhd (PDB) bertanggungjawab bagi pengendalian produk dan pengisian semula minyak.

Teknologi bahan api baharu itu dihasilkan oleh pengeluar SAF terbesar di dunia, Neste, menggunakan 100 peratus bahan mentah berasaskan sisa boleh diperbaharui seperti sisa lemak haiwan.

Mengenai sama ada penggunaan SAF itu akan memberi kesan kepada harga tiket, See berkata penetapan harga dipacu pasaran yang berasaskan kepada permintaan.

"Buat masa ini harga tidak akan terkesan. Harga tiket adalah mengikut permintaan penerbangan," katanya.

Untuk kebaikan industri, negara dan bagi masa depan Planet Bumi, beliau menggesa semua penumpang untuk menyertai syarikat itu mengambil langkah yang perlu bagi meminimumkan impak alam sekitar, sambil menambah SAF akan menjadi sumber bahan api yang lebih bersih, lebih berdaya maju bagi penerbangan biasa menjelang 2025.

"SAF telah digunakan oleh 40,000 penerbangan di seluruh dunia; kebolehlaksanaannya sebagai pilihan bahan api yang lebih bersih dan berdaya maju telah terbukti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Azrul Osman Rani berkata kedua-dua syarikat itu akan meneroka bersama potensi peluang untuk mengembangkan kemampanan, termasuk bekalan dan penggunaan SAF di KLIA.

"Kami juga menyasar untuk meningkatkan kesedaran tentang kemampanan penerbangan menerusi strategi komunikasi dan sokongan berkaitan pengurangan pelepasan karbon," katanya.

Azrul Osman berkata PDB ketika ini sedang menilai pembangunan loji penapis bio baharu dan yang telah digunakan di kemudahan Petronas sedia ada bersedia untuk membekalkan SAF di dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 4:43 PM