MAG mahu menjadi perintis menggunakan SAF untuk penerbangan di Malaysia.
MAG mahu menjadi perintis menggunakan SAF untuk penerbangan di Malaysia.

MENGORAK langkah setapak ke hadapan, syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines mengukir sejarah baharu apabila pesawat penumpang pertamanya menggunakan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

Pesawat Boeing 737-800 menggunakan campuran bahan api jet konvensional dan SAF Neste yang dihasilkan 100 peratus daripada sisa boleh diperbaharui dan sisa bahan mentah seperti lemak haiwan.

Penerbangan bersejarah itu membabitkan pesawat MH603 dari Kuala Lumpur (KUL) ke Singapura (SIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pegawai Kelestarian Malaysia Aviation Group (MAG) Philip See berkata, Neste yang juga pengeluar SAF terbesar dunia adalah pembekal bahan api berkenaan melalui perjanjian bekalan dengan PETCO Trading (UK) Ltd, yang juga rakan strategik pemasaran dan perdagangan Petronas berpusat di Eropah, manakala pengendalian produk dan pengisian bahan bakar dijalankan oleh Petronas Dagangan Berhad (PDB) di KLIA.

"Berikutan pencapaian ini, bekalan jangka panjang SAF disediakan di KLIA untuk pelanggan penerbangan berpotensi bernaung di bawah MAG termasuk Firefly.

"Ini pesawat penumpang pertama menggunakan Neste SAF, iaitu mengikuti jejak langkah pesawat kargo komersial iaitu MH7979 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu, membuktikan kemungkinan SAF sebagai pilihan bahan api yang lebih bersih dan lebih berdaya maju," katanya.

Menurutnya, MAG mahu menjadi perintis menggunakan SAF untuk penerbangan di Malaysia sebagai sebahagian daripada komitmen untuk mencapai pembangunan sosio-ekonomi dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih.

Industri (MITI).

"Ini juga bertujuan untuk mengukuhkan kesedaran mengenai kelestarian penerbangan melalui strategi komunikasi dan advokasi di sekitar pengurangan pelepasan karbon.

"Kita menjangkakan skim pengimbangan dan pengurangan karbon untuk fasa mandatori penerbangan antarabangsa (CORSIA) pada 2027, Petronas menilai perkembangan yang dirancang di Greenfield dan Brownfield Biorefineries serta pemprosesan bersama di kemudahan Petronas yang sedia ada," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Azrul Osman Rani berkata, Petronas akan berada pada kedudukan yang baik untuk membekalkan SAF di dalam negara dan antarabangsa untuk menghasilkan minyak sayuran yang dihidrogenkan (HVO) atau diesel yang boleh diperbaharui.

"Sejajar dengan komitmen Petronas ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, meneroka bekalan SAF di KLIA adalah perkembangan terbaik bagi kami dengan bahan api penerbangan menjadi salah satu daripada produk utama.

"Dengan dua penerbangan yang sudah terbukti, PDB menunjukkan keupayaan dan kesediaan infrastrukturnya dalam membekalkan SAF di KLIA dari sekarang dan seterusnya untuk menyokong agenda kemapanan industri penerbangan," katanya.

Katanya, Neste komited menyokong untuk mencapai matlamat pengurangan pelepasan karbon dan kini memperluaskan kapasiti pengeluaran SAF global kepada 1.5 juta tan pada akhir 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 9:44 AM