Game Connect, solusi kedai sehenti untuk komuniti gamer Malaysia.
Game Connect, solusi kedai sehenti untuk komuniti gamer Malaysia.

BOOST, syarikat fintech milik Axiata, berjaya melancarkan Game Connect, solusi kedai sehenti untuk komuniti gamer Malaysia melalui anak syarikat, Boost Connect (dahulu dikenali sebagai Apigate), pelantar pembayaran rentas sempadan serantau dan pertumbuhan pelanggan.

Kedai dalam talian itu dibangunkan untuk Boost Life, pelantar e-dompet pengguna dan pembayaran gaya hidup digital.

Game Connect menawarkan solusi sehenti sepenuhnya untuk komuniti e-sukan dan gaming di Malaysia untuk menemui dan membeli kredit serta baucar game dengan mudah.

Sebagai permulaan, Game Connect menawarkan 63 tajuk game terkenal, termasuk game mudah alih seperti Mobile Legends, Genshin Impact, PUBG dan Roblox.

Selain itu, baucar untuk Playstation, Unipin, Razer, Google Play, Garena, Steam, Nintendo dan Amazon turut tersedia.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, di Malaysia, komuniti e-sukan dan gaming aktif dan semakin berkembang.

"Dua tahun lalu, kajian pasaran menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada 20 juta gamer di dalam negara, dan ternyata bilangan mereka semakin bertambah.

"Game Connect ialah salah satu usaha kami untuk menawarkan komuniti gamer solusi sehenti dan akses mudah untuk semua keperluan gaming mereka di satu lokasi," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost Connect, Raja Mansukhani berkata, Game Connect menawarkan Boost Life peluang meningkatkan tawaran nilai produk bagi memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik dan mudah, selain memenuhi permintaan komuniti gamer yang kian meningkat.

"Ini adalah solusi kedai dalam talian kedua kami di peringkat rantau, dan permintaan produk proaktif seperti ini semakin bertambah dalam kalangan pelanggan," katanya.

Sementara itu, langganan pas game, peranti dan aksesori gaming, pas masuk ke kejohanan gaming, serta

ciri 'Pay Later' untuk game dan peranti akan diperkenalkan sepanjang 2022.

Malah, bilangan penyedia perkhidmatan gaming dan rakan niaga akan turut bertambah pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 7:18 AM