Idham (kiri) menerima anugerah dari Ookla Speedtest yang mengiktiraf Celcom sebagai Liputan Mudah Alih Terbaik di Malaysia.
Idham (kiri) menerima anugerah dari Ookla Speedtest yang mengiktiraf Celcom sebagai Liputan Mudah Alih Terbaik di Malaysia.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Celcom Axiata Bhd (Celcom) menjadi syarikat telekomunikasi dengan Liputan Mudah Alih Terbaik di Malaysia daripada Anugerah Ookla Speedtest sekali gus membuktikan komitmennya untuk terus melabur dalam mempertingkatkan kualiti dan perkhidmatan rangkaian supaya dapat memberikan pengalaman digital yang konsisten untuk seluruh rakyat Malaysia.

Berdasarkan laporan Ookla Speedtest bagi Suku Ketiga-Suku Keempat 2021 di Malaysia, rangkaian mudah alih Celcom serta pengalaman mudah alih rakyat Malaysia dianalisis melalui Metrik Liputan Ookla.

Celcom dalam kenyataan berkata, laporan skor bagi rangkaian itu menunjukkan jejak setiap syarikat telekomunikasi dan kualiti perkhidmatan di negara ini dalam tempoh yang tertentu bagi menentukan pemenang bagi anugerah berkenaan.

Ia berkata, analisis menunjukkan Celcom berjaya memperoleh skor purata sebanyak 787 di Malaysia, mendahului kategori Rangkaian Mudah Alih Terbaik.

Celcom merekodkan kiraan imbasan tertinggi iaitu lebih 142 juta imbasan dan meliputi 356,606 lokasi di seluruh negara.

Berdasarkan laporan berkenaan, Celcom telah mendahului dengan mencatatkan lebih 93.2 peratus untuk rangkaian 4G dan 99.7 peratus untuk liputan umum di seluruh negara.

Anugerah berkenaan juga adalah pengiktirafan kepada Celcom bagi perbelanjaan modal sebanyak RM825 juta untuk penambahbaikan rangkaian pada 2021, memperlihatkan penambahan liputan LTE sebanyak 900 tapak serta lebih 9,500 tapak yang telah dioptimumkan dengan liputan dan kapasiti 4G yang dipertingkatkan di seluruh negara.

Pelaburan rangkaian 4G Celcom telah meningkatkan liputan populasi 4G LTE di seluruh negara sebanyak 99 peratus atau lebih di tujuh negeri terutamanya di Sabah, Pahang, Terengganu, Kelantan Sarawak, Negeri Sembilan dan Kedah.

Pada akhir 2021, Celcom telah mencapai liputan populasi 4G LTE di seluruh negara sebanyak 94.5 peratus, yang diukur melalui kekuatan isyarat -98dBm di kawasan bandar dan pinggir bandar supaya dapat menyediakan secara purata isyarat 3-4 bar pada peranti mudah alih.

Bagi liputan populasi LTE Advanced (LTE-A), Celcom telah mencapai liputan populasi sebanyak 90 peratus, yang mana pelanggan yang mempunyai peranti baharu yang menyokong LTE-A dapat menikmati pengalaman yang lebih baik untuk penstriman video, permainan dan banyak lagi, dengan kelajuan muat turun yang lebih pantas di seluruh Malaysia.

Pencapaian terbaru Celcom itu diumumkan baru-baru ini sewaktu majlis Ookla Speedtest Awards di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2022 yang diadakan di Barcelona, ​​Sepanyol dari 28 Februari 2022 hingga 3 Mac 2022.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Idham Nawawi berkata, Celcom amat berbangga kerana diiktiraf sebagai Liputan Mudah Alih Terbaik di Malaysia oleh Ookla.

Beliau berkata, syarikat telekomunikasi itu amat komited untuk memberikan pengalaman digital terbaik kepada pelanggan, sama ada untuk keperluan kerja, permainan, penstriman video ataupun pembelajaran.

Katanya, ia juga akan terus usaha untuk menjadi penyedia rangkaian yang paling dipercayai untuk seluruh rakyat Malaysia, dengan liputan terluas serta prestasi yang konsisten.

"Kami akan terus melabur dalam memodenkan rangkaian kami untuk memenuhi pertumbuhan trafik data yang pesat serta memacu pelaburan dalam rangkaian.

"Pelaburan rangkaian kami termasuk menggunakan teknologi hujung ke hujung terkini seperti FDD Smart 8T8R komersial berskala besar yang pertama di dunia, 4T4R multiple-input and multiple-output (MIMO), Carrier Aggregation, 256 Quadrature Amplitude Modulation (QAM) dan banyak lagi bagi meningkatkan pengalaman digital pelanggan kami," katanya.

Idham berkata, Celcom juga akan memastikan rangkaiannya menjangkau kesemua lapisan masyarakat, termasuk kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pihaknya ingin mengukuhkan kepercayaan pelanggan serta pihak pelabur dengan meneruskan fokus dalam meningkatkan kesinambungan dan pengalaman digital untuk seluruh rakyat Malaysia dari setiap lapisan masyarakat, memacukan inisiatif digital yang inklusif di seluruh negara.

Ookla adalah peneraju bagi rangkaian mudah alih dan jalur lebar, aplikasi ujian dan teknologi berkaitan di peringkat global, sementara Speedtest adalah platform ujian rangkaian utama Ookla yang mengumpulkan ratusan juta ukuran tentang prestasi dan kualiti rangkaian di seluruh dunia setiap hari.

Pengendali, perniagaan serta agensi kerajaan sama-sama bergantung pada Ookla bagi mendapatkan maklumat segera bagi mengetahui keadaan rangkaian dan perkhidmatan dalam talian.

Pada Januari 2022, hasil daripada tinjauan yang dijalankan oleh firma penyelidikan pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos), Celcom juga telah dinobatkan sebagai syarikat telekomunikasi yang paling dipercayai negara.

Tinjauan daripada Ipsos Trust Track: The Most Trusted Corporations and Institutions in Malaysia (2021) telah membabitkan lebih 3,000 temu bual secara bersemuka bersama dengan profil yang mewakili sesebuah negara yang dijalankan sepanjang 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 4:33 PM