Datuk Idham Nawawi
Datuk Idham Nawawi
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad (Celcom) memperuntukkan lebih RM200 juta bagi penambahbaikan rangkaian di Sabah dan Sarawak, tahun ini.

Ia meliputi kerja meningkatkan liputan dan kapasiti 4G LTE, Rangkaian Teras Celcom, serta pelaburan bagi liputan fiber untuk Celcom Timur Sdn Bhd (CTSB).

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datuk Idham Nawawi berkata, pelanggan di Sabah kini boleh menikmati tawaran konvergen eksklusif pihaknya yang disertakan dengan pelan peranti mudah alih dan Home Fibre yang berpatutan.

"Pelanggan dapat 'Pasang Terus' pelan Celcom Home Fibre™ dan nikmati kesalinghubungan internet fiber pada hari sama tanpa perlu membuat janji temu pada waktu berbeza.

"Dengan pelan Celcom Home Fibre™ dan pelan konvergen kami, pelanggan Sabah dapat kekal berhubung bagi sebarang tujuan penggunaan digital, sama ada untuk bekerja, permainan, penstriman video dan pembelajaran pada hari sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Idham berkata, pihaknya komited untuk memberikan perkhidmatan rangkaian yang konsisten dan boleh dipercayai dengan liputan terluas.

"Selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) serta kerjasama dengan pihak industri, kami amat mementingkan penambahbaikan buat rangkaian di Sabah dan Sarawak.

"Dengan pelancaran rangkaian baharu, kami menyasarkan untuk meningkatkan liputan populasi 4G LTE kepada 85 peratus di Sabah, manakala 92 peratus di Sarawak menjelang akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan rangkaian di Sabah dan Sarawak turut memodenkan perkhidmatan rangkaian, menggunakan teknologi hujung ke hujung seperti 16T16R multiple-input dan multiple-output (MIMO), Carrier Aggregation, 256 Quadrature Amplitude Modulation (QAM) dan lain-lain.

"Dengan penambahbaikan itu bersama dengan rangkaian teras khusus untuk Sabah dan Sarawak, ia bertujuan untuk memberi pengalaman yang lebih baik untuk semua pengguna Celcom," katanya.

Dalam pada itu, inisiatif 'Pasang Terus' Celcom membolehkan pelanggan di kawasan terpilih di Sabah menikmati kesalinghubungan dengan pemasangan internet Celcom Home Fibre™ pada hari yang sama tanpa perlu membuat janji temu.

Trak Bluecube Celcom akan meninjau di seluruh kawasan perumahan bagi membolehkan pelanggan mendaftar dengan pelan Celcom Home Fibre™ dan pelan konvergen, yang mana kesemua pelan internet itu boleh digabungkan dengan pelan pascabayar Celcom Xpax.

Ia menawarkan kesalinghubungan terbaik dengan internet fiber dan peranti mudah alih pada harga berpatutan iaitu RM119.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 10:07 PM