FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Zaky Zainuddin


Kuala Lumpur: Prestasi rangkaian 5G Malaysia terus mendahului negara Asia Tenggara lain dengan pencapaian yang konsisten, sekali gus menjadikan negara sebagai antara rangkaian berprestasi terbaik di seluruh di dunia.

Menurut laporan Speedtest Intelligence Ookla bagi tempoh suku keempat 2023, Malaysia terus mengungguli negara Asia Tenggara yang lain dalam prestasi rangkaian 5G walaupun jangkaan penurunan prestasi disebabkan lebih banyak penggunaan dan kesesakan pengguna.

"Kelajuan muat turun median 5G Malaysia adalah sebanyak 451.79 Mbps, lebih tinggi daripada 329.73 Mbps untuk Singapura, 129.40 Mbps (Thailand) dan 125.14 Mbps di (Filipina).

"Malaysia juga melaporkan kelajuan muat naik median 5G terpantas dalam kalangan negara Asia Tenggara, pada 51.84 Mbps, berbanding 27.57 Mbps untuk Singapura, 23.63 Mbps (Thailand) dan 12.00 Mbps (Filipina)," menurut laporan berkenaan.

Pada Mei 2023, kerajaan mengumumkan keputusan untuk beralih daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada model dwirangkaian untuk penggunaan 5G negara.

Rangkaian 5G kedua bertujuan untuk mewujudkan lebihan bagi teknologi berkenaan sambil membuka jalan untuk perkhidmatan 5G yang lebih mantap dan boleh dipercayai di negara ini.

Peralihan kepada model dwirangkaian dijangka bermula pada Januari lalu selepas Digital Nasional Bhd (DNB) mencapai 80 peratus liputan 5G.

Pada akhir Disember 2023, DNB melaporkan, liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara telah melepasi 80.2 peratus.

Bagaimanapun, sehingga Mac 2024, masih belum ada sebarang berita daripada kerajaan berhubung penubuhan rangkaian 5G kedua.

Menurut laporan Speedtest Intelligence Ookla, rangkaian 5G Malaysia mencatatkan Skor Konsistensi tertinggi di seluruh dunia untuk suku keempat tahun lalu kepada 97.3 peratus.

Hasilnya menunjukkan bahawa 97.3 peratus daripada sampel Speedtest Intelligence pada rangkaian 5G Malaysia melebihi ambang ketekalan, yang kini ditetapkan pada kelajuan muat turun minimum 25 Mbps dan kelajuan muat naik minimum 3.0 Mbps.

Sebagai perbandingan, negara teratas lain, seperti Macedonia Utara dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan skor konsistensi yang lebih rendah, masing-masing sebanyak 94.1 peratus dan 93.9 peratus.

"Pengguna 5G Malaysia yang mengalami kelajuan muat turun 'perlahan' menikmati kelajuan sekurang-kurangnya lima kali lebih pantas daripada kelajuan muat turun median 4G," katanya.

Apabila melihat keputusan bawahan 10 peratus kelajuan muat turun 5G suku keempat 2023, data Speedtest Intelligence menunjukkan bahawa kelajuan 5G dalam peratusan ke-10 mencatatkan masa pada 203.49 Mbps, peningkatan yang besar berbanding kelajuan muat turun median 4G, iaitu 37.23 Mbps.

"Bagi konteks lebih lanjut, kelajuan muat turun 5G median Malaysia ialah 451.79 Mbps.

"Ketersediaan 5G di Malaysia meningkat daripada 21.0 peratus pada suku pertama kepada 27.0 peratus pada suku keempat 2023.

"Meskipun dengan peningkatan ini, Malaysia masih ketinggalan berbanding negara jiran seperti Singapura dan Thailand, yang masing-masing berada pada 53.8 peratus dan 45.5 peratus dalam aspek ketersediaan 5G. Malaysia hanya lebih tinggi sedikit daripada Filipina iaitu 26.2 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 12:47 PM