(Dari kiri) Naib Presiden, Perkhidmatan XR, LG UPlus Corp, Yoon Ho Choi; Idham dan Rafiq mengumumkan kerjasama untuk meneroka potensi kandungan dan perkhidmatan 5G.
(Dari kiri) Naib Presiden, Perkhidmatan XR, LG UPlus Corp, Yoon Ho Choi; Idham dan Rafiq mengumumkan kerjasama untuk meneroka potensi kandungan dan perkhidmatan 5G.
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad (Celcom) mengumumkan kerjasama eksklusif bersama LG Uplus Corp, syarikat peranti mudah alih Korea Selatan di bawah naungan LG Corporation, serta kumpulan media integrasi utama Malaysia, Media Prima Berhad, bagi meneroka potensi kandungan dan perkhidmatan 5G yang merangkumi teknologi realiti maya (VR) dan augmented reality (AR) untuk pengguna Malaysia.

Dengan peningkatan penstriman video untuk pelbagai gaya hidup di kalangan rakyat Malaysia hari ini, kerjasama Celcom bersama LG Uplus dan Media Prima bertujuan untuk menyediakan kandungan hiburan digital dari Korea serta kandungan tempatan seperti vlog kembara dengan menggunakan teknologi VR/AR dan perkhidmatan 5G.

Melalui manfaat teknologi 5G dengan kapasiti rangkaian lebih besar, kelajuan lebih pantas serta kadar kependaman lebih rendah, Celcom telah bersedia untuk membina ekosistem kandungan 5G Malaysia yang berfokus kepada hiburan, permainan atas talian, pendidikan dan produktiviti.

Perkhidmatan 5G dijadualkan bakal tersedia di Malaysia pada akhir 2021, dan oleh itu Celcom ingin bekerjasama dengan lebih banyak peneraju teknologi bagi meneroka dan menempatkan produk 5G dengan perkhidmatan yang merangkumi pelan mudah alih 5G, peranti 5G dan pelan kediaman 5G.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi berkata, kerjasama Celcom bersama LG Uplus dan Media Prima memperlihatkan kesungguhan Celcom untuk menyampaikan kandungan dan perkhidmatan 5G yang merangkumi kandungan tempatan dan antarabangsa kepada pengguna Malaysia.

"Celcom telah menjalankan lebih daripada 40 kes kegunaan 5G yang membabitkan pelbagai sektor industri dan perusahaan, bagi membolehkan Celcom mengkaji dengan lebih baik bagaimana teknologi 5G dapat digunapakai sebagai suatu penyelesaian, melaksanakan aplikasi digital, dan perkhidmatan untuk pengguna.

"Celcom akan berkolaborasi dengan LG Uplus dan Media Prima dalam menyediakan aplikasi 5G dan pengalaman digital, kerana kami percaya kerjasama dengan pelbagai industri adalah penting dalam mencapai kesalinghubungan konvergen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, pihaknya amat berbesar hati

untuk bekerjasama dengan Celcom dalam projek ini.

"5G sememangnya akan membawa pembaharuan dalam penyediaan kesalinghubungan dan kandungan. Ia akan mengubah maklumat serta tahap kecekapan, bukan hanya bagi kediaman, malah bagi perniagaan juga.

"Kami di Media Prima sentiasa berusaha untuk melangkaui tahap berikutnya, dan kami sangat teruja untuk memperkenalkan kaedah baru dan inovatif untuk pelanggan menikmati kandungan kami.

"Ini adalah masa untuk meraikan kandungan berkualiti untuk masyarakat, dan kesalinghubungan tanpa sempadan untuk seluruh rakyat Malaysia dan untuk generasi akan datang," katanya.

Dalam pada itu, LG UPlus Corp, pengendali telekomunikasi utama Korea Selatan telah memperkenalkan perkhidmatan 5G pertama di dunia pada Disember 2018.

Sebagai syarikat peranti mudah alih di era 5G, LG Uplus telah banyak melabur untuk membangun perkhidmatan kandungan 5G yang menarik melalui rangkaian generasi berikut, yang memberi kependaman rendah dan 20 kali lebih pantas daripada LTE.

LG Uplus juga giat untuk mengeksport kandungan berasaskan rangkaian 5G dan pengetahuan teknologi kepada operator luar negara untuk memastikan model perniagaan dan kewujudannya adalah lebih kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 12:16 PM