PELABURAN bagi menjamin bekalan berdaya harap dapat berterusan dinikmati rakyat Malaysia. FOT Arkib NSTP
PELABURAN bagi menjamin bekalan berdaya harap dapat berterusan dinikmati rakyat Malaysia. FOT Arkib NSTP
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) bercadang untuk melabur sekitar RM20 bilion dengan kelulusan kerajaan sebagai perbelanjaan modal (capex) dalam tempoh tiga tahun akan datang, demikian kata Ketua Pegawai Kawalselia dan Pengurusan Pemegang Taruh TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

Beliau berkata, capex itu untuk mengekalkan keselamatan rangkaian dan sistem yang berdaya tahan; memenuhi permintaan pelanggan dan membolehkannya menyokong inisiatif peralihan tenaga kerajaan dalam tempoh berkenaan.

Katanya, langkah kerajaan mengekalkan kaedah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) membolehkan pelaburan yang secukupnya dibuat dalam sistem pembekalan elektrik bagi Tempoh Kawal Selia (RP3) baharu bermula 2022 hingga 2024.

Jelasnya, ia bertujuan untuk menjamin bekalan berdaya harap berterusan dinikmati rakyat negara ini.

"Kami merancang untuk membuat pelaburan sekitar RM20 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang sebagai capex dengan kelulusan kerajaan demi mengekalkan keselamatan rangkaian dan sistem yang berdaya tahan; memenuhi permintaan pelanggan dan membolehkan kami menyokong inisiatif peralihan tenaga kerajaan dalam tempoh berkenaan," katanya dalam satu petikan ringkas, semalam.

Malaysia sudah melaksanakan IBR pada 2014 ke atas sektor perbekalan elektrik agar ia lebih cekap dan kos efektif dan ia dilaksanakan sebahagian daripada Pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI).

IBR yang diperkenalkan Suruhanjaya Tenaga (ST) itu membolehkan pengguna mengetahui bil elektrik merangkumi komponen seperti penjanaan, penghantaran dan pembahagian.

Ia juga bagi memastikan pelanggan dilindungi dan bil yang dikenakan adalah berdasarkan kecekapan kos dan kualiti perkhidmatan serta prestasi sektor perbekalan elektrik dapat dikekalkan.

ICPT adalah mekanisme diluluskan kerajaan dan dilaksanakan ST sejak 1 Januari 2014 sebagai sebahagian reformasi kawal selia yang lebih luas, iaitu IBR.

Pelaksanaan mekanisme ICPT membolehkan TNB menterjemahkan perubahan dalam kos bahan api dan penjanaan kepada tarif elektrik pengguna setiap enam bulan dan ia dilaksanakan mengikut Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015.

Pada hujung bulan lalu, kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung, bagi tempoh bermula 1 Februari ini hingga 31 Disember 2024.

ST memaklumkan keputusan pengekalan dibuat meskipun berlaku peningkatan kos bahan api dan kos penjanaan lain, sebanyak RM1.67 bilion antara 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu, akibat kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran hingga mencecah AS$200 satu tan.

Bagi mengekalkan kadar tarif berkenaan, ia berkata, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 7:00 AM