Kuala Lumpur: Bermula kelmarin, harga baru runcit bagi petrol RON95 turun 21 sen seliter kepada RM1.70 seliter dan RON97 turut 11 sen seliter menjadi RM2, manakala harga runcit diesel turun 23 sen menjadi RM1.70 seliter susulan kejatuhan harga minyak dunia.

Pengumuman penurunan harga petrol dan diesel oleh kerajaan itu, adalah yang kedua pada tahun ini selepas penurunan bahan mentah yang sama pada 1 Januari lalu dengan harga terakhir bagi RON95 (RM1.91 seliter), RON97 (RM2.11 seliter) dan RM1.93 seliter bagi diesel.

Tentu sekali berita itu disambut baik oleh orang ramai yang turut mengharapkan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan masyarakat perniagaan mengikut langkah sama namun senario itu berbeza kepada syarikat utiliti negara yang membekalkan tenaga elektrik kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ketika ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjana elektrik menerusi pelbagai sumber penjanaan. Gas asli berpaip dan gas asli cecair adalah penyumbang terbesar sehingga 55 peratus manakala selebihnya menerusi gabungan arang batu, hidro dan tenaga diperbaharui (RE).

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam kenyataannya sebelum ini berkata, sebarang kenaikan dan penurunan harga minyak mentah dunia hanya akan memberi kesan kepada harga gas asli cecair (LNG) selepas tempoh lima hingga tujuh bulan kemudian.

Menurut KeTTHA juga, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi mengapa semakan semula tarif elektrik tidak dapat dilakukan ketika ini, antaranya ialah harga pasaran LNG yang dibekalkan ke Semenanjung Malaysia dihubungkan dengan harga LNG Bintulu dan harga Japan Customs-Cleared Crude yang mempunyai kesan pengekoran harga masing-masing dua hingga empat bulan serta lima hingga tujuh bulan.

Penganalisis ekonomi berkata, sebarang pergerakan kenaikan atau penurunan pada harga minyak mentah dunia akan hanya memberi kesan kepada harga LNG selepas lima hingga tujuh bulan dan ini tidak bermakna tarif elektrik akan turun dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, ketika ini penggunaan gas asli di sektor penjanaan elektrik melebihi 1,000 mmscfd (juta standard kaki padu sehari) dengan penggunaan 1,000 mmscfd pertama daripada jumlah penggunaan gas ini adalah dikira sebagai penggunaan gas berpaip dan dijual pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan (harga subsidi) iaitu RM15.20/mmBtu (juta metrik unit termal British) oleh PETRONAS.

“Bagi mmscfd yang selebihnya pula dijual sebagai Gas Asli Cecair (LNG) pada harga pasaran yang lebih mahal iaitu di antara RM46 hingga RM48/mmBTU.

“Jelasnya harga gas berpaip masih lagi disubsidi oleh kerajaan manakala harga LNG masih lagi tinggi walaupun harga minyak dunia telah pun turun ketahap di bawah AS$50 setong,” katanya.

Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia ditetapkan menerusi sistem kawal selia berasaskan insentif (IBR) yang merangkumi mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) yang dilaksanakan pada Januari 2014. ICPT membolehkan kerajaan untuk menyemak kadar tarif setiap enam bulan berdasarkan kepada perubahan dalam harga bahan api dan penjanaan.

Walaupun harga arang batu menurun sekitar AS$70 setan sejak kebelakangan ini, ia masih lagi tidak mencukupi untuk menampung kenaikan harga LNG yang masih lagi tinggi.

Penganalisis itu berkata, kos bahan api yang ditanggung oleh TNB juga menerima kesan akibat penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) termasuk arang batu yang dibeli dalam matawang dolar AS.

Susulan keputusan kerajaan pada 5 November 2014, kerajaan akan menyerap kos ICPT berjumlah RM847.96 juta menerusi penjimatan daripada rundingan semula perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan penjana tenaga bebas (IPP) generasi pertama.

Bagaimanapun, wang terkumpul melalui penjimatan rundingan semula PPA terbabit adalah terhad dan tidak akan mencukupi untuk menampung kenaikan harga bahan api pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 5:21 AM