NOH (dua, kiri) meluangkan masa mengunjungi gerai usahawan selepas merasmikan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (PUKKM 2022) di Stadium Sungai Besar. FOTO BERNAMA
NOH (dua, kiri) meluangkan masa mengunjungi gerai usahawan selepas merasmikan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (PUKKM 2022) di Stadium Sungai Besar. FOTO BERNAMA
Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Kira-kira 13,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas banjir berada dalam pemerhatian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) untuk dibantu.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, sehubungan itu Medac menggerakkan agensi di bawahnya untuk membantu golongan terbabit.

"Agensi seperti Tekun Nasional, UDA Holdings, SME Corp, Bank Rakyat, SME Bank, Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken), Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bersama-sama berganding bahu untuk memastikan setiap usahawan yang terjejas kembali pulih dalam situasi yang mencabar ini.

"Sebanyak RM355.83 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program pembangunan keusahawanan pada tahun ini.

"Peruntukan ini bukan sahaja untuk PMKS sedia ada, tetapi juga diharapkan akan dapat dimanfaatkan oleh bakal usahawan yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika Program Usahawan Dan Koperasi Keluarga Malaysia di Stadium Sungai Besar, dekat sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Medac yang juga merangkap Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya.

Terdahulu, Noh menyampaikan pembiayaan berjumlah RM30 juta daripada Medac kepada usahawan di Parlimen Sungai Besar.

Mengulas lanjut, Noh berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan bantuan permulaan keseluruhan sebanyak RM1 juta kepada koperasi yang terjejas akibat banjir.

"Nilai maksimum yang akan diberikan kepada setiap koperasi yang layak adalah sebanyak RM30 ribu dan Insentif Pengurangan Pemindahan Kumpulan Wang Rezab Statutori (KWRS) daripada 15 peratus kepada 8 peratus daripada untung bersih terauditnya selepas pelarasan operasi.

"Tekun Nasional juga memberi moratorium kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama 6 bulan dan memperuntukkan sejumlah RM30 juta untuk pembiayaan usahawan mikro dan informal yang terkesan dengan banjir," katanya.

Selain itu, katanya, AIM memberi moratorium secara automatik kepada Sahabat AIM bermula 20 Disember tahun lalu sehingga 31 Januari ini.

Manakala bagi Bank Rakyat pula memberi penangguhan kepada peminjam yang terkesan banjir selama 6 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 4:35 PM