NOH (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM Yusry Yusof (kanan) dan Ketua Pengarah IKM Datuk Ali Mansor (dua dari kiri), semalam.
NOH (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM Yusry Yusof (kanan) dan Ketua Pengarah IKM Datuk Ali Mansor (dua dari kiri), semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menyasarkan gerakan koperasi dapat mencapai sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera melalui pemilikan saham khas Bumiputera yang ditawarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Menteri Medac, Tan Sri Noh Omar berkata, pembabitan sektor koperasi dalam pemilikan saham khas Bumiputera dijangka dapat membuka peluang meningkatkan pendapatan koperasi demi menjamin kesejahteraan anggotanya.

Katanya, pada 2019 dan tahun lalu, 74.6 peratus saham diluluskan untuk diagih kepada koperasi daripada 98.5 juta saham yang dimohon.

"Peratus kelulusan terbabit dilihat masih boleh ditingkatkan lagi memandangkan jumlah permohonan koperasi hanya empat peratus berbanding pelabur lain seperti institusi amanah, syarikat, yayasan dan individu Bumiputera.

"Justeru, saya berharap Miti dapat memberi keutamaan kepada koperasi yang memohon dengan memberi kuota khas bagi memastikan pemilikan saham khas Bumiputera dalam gerakan koperasi mencapai sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

"Selain itu, saya menggesa agensi di bawah Medac seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengambil peranan lebih proaktif dalam mempermudahkan proses kelulusan kepada koperasi yang ingin melabur dalam pasaran saham, supaya ia menarik minat lebih banyak koperasi dalam membuat pelaburan di Bursa Malaysia," katanya di Majlis Pertukaran Dokumen MoU Kerjasama Strategik antara Institut Koperasi Malaysia (IKM) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) serta sempena webinar Kesedaran Pemilikan Saham Khas Bumiputera untuk Koperasi di sini, semalam.

Noh berkata, pihaknya juga menyeru koperasi merebut peluang ini dan melabur hanya menggunakan wang lebihan untuk membuat pelaburan saham di pasaran terbuka.

Menurutnya, koperasi juga perlu bijak membuat analisis kritis terhadap keputusan pelaburan yang akan dilakukan bagi membolehkan koperasi menjana pendapatan dan meminimumkan risiko kerugian yang boleh menjejaskan operasi koperasi masing-masing.

"Medac juga akan meminta senarai 100 koperasi terbaik bagi membolehkan tawaran saham akan terus diberi keutamaan kepada 100 koperasi terbaik ini.

"Saya amat mengharapkan selepas seminar ini, akan ada lagi bengkel lebih teknikal diberikan kepada koperasi yang benar-benar berminat melabur dalam pasaran saham terbuka agar mereka dapat diasuh dan dilatih bila masa sesuai untuk membeli atau menjualnya bagi mengelakkan mereka alami kerugian sebagaimana peristiwa hitam yang dilalui oleh banyak koperasi pada tahun 1980-an.

"Saya harap akan ada tindakan susulan yang segera diambil oleh SKM, IKMa mahupun pihak Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sendiri bagi memastikan ia dapat diadakan dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:01 AM