DATUK Muslimin Yahaya (kiri) melawat pameran koperasi selepas  Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Muslimin Yahaya (kiri) melawat pameran koperasi selepas Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) mensasarkan untuk menambah lebih 500 kedai koperasi (Coopmart) di seluruh negara bagi membantu menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Muslimin Yahaya berkata, setakat ini, terdapat 400 Coopmart di seluruh negara menerusi pelbagai jenis koperasi.

Katanya, konsep Coopmart diperkenalkan pada tahun ini untuk menawarkan barang keperluan yang mampu milik dan rendah bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, khususnya B40 di bandar.

"Koperasi sangat signifikan dengan Coopmart dan pihak kami mensasarkan seberapa banyak koperasi yang ada kemampuan untuk kita membina rangkaian Coopmart bagi membantu ahli dan juga rakyat dengan menawarkan harga yang lebih murah.

"Bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, kami akan memastikan sama ada koperasi masjid atau koperasi berasaskan perkhidmatan untuk dijadikan Coopmart dengan bantuan dana daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Kelantan di Aeon Mall di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan Negeri negeri Saiful Adli Abu Bakar dan Pengarah SKM Negeri Kelantan Zainudin Mohamed.

Dalam perkembangan lain, Muslimin berkata, sehingga Disember 2021, ada 939 koperasi di Kelantan dengan ahlinya seramai 318,195 orang.

Jumlah model syer dan modal saham terkumpul pula ialah RM412 juta.

"Manakala jumlah perolehan terkumpul yang dicatatkan sehingga Disember 2021 ialah RM842.98 juta.

"SKM Negeri Kelantan sudah menyalurkan dana insentif kewangan berjumlah hampir RM9.7 juta terdiri daripada dana bantuan dan pembiayaan tabung modal pusingan.

"Ia termasuk bantuan di bawah fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 serta bantuan di bawah dana Pemulih kepada koperasi yang terkesan dan layak memohon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 3:59 PM