PTP catatkan jumlah kendalian  11.2 juta TEU pada akhir tahun lalu.
PTP catatkan jumlah kendalian 11.2 juta TEU pada akhir tahun lalu.

PELABUHAN Tanjung Pelepas (PTP) merekodkan pencapaian baharu dengan menjadi terminal kontena pertama di Malaysia yang melepasi jumlah kendalian kontena melebihi 11 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU), tahun lalu.

Rekod kendalian direkodkan pada 25 Disember lalu, jam 10 pagi itu semasa proses kendalian kontena di kapal Maersk Amazon, sekali gus mengukuhkan kedudukan PTP sebagai satu daripada 15 pelabuhan tersibuk di dunia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, PTP mencatatkan jumlah kendalian 11.2 juta TEU pada akhir tahun lalu dengan nilai pertumbuhan 14 peratus berbanding 9.8 juta TEU pada 2020.

Katanya, Kementerian Pengangkutan berbangga atas pencapaian terkini PTP di saat masih banyak negara berpelabuhan yang masih terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

"Nilai pertumbuhan dua digit yang dicapai PTP iaitu 14 peratus pada akhir tahun lalu adalah kadar pertumbuhan tertinggi antara 20 pelabuhan terbaik di dunia.

"Ketika pelabuhan lain di seluruh dunia masih berada dalam situasi yang kurang stabil akibat pelbagai isu termasuk kesan operasi perniagaan akibat Covid-19 yang berterusan, kos pengangkutan yang meningkat, kesesakan pelabuhan dan kekurangan bekalan serta tenaga kerja, namun PTP menunjukkan tahap pencapaian mengagumkan.

"Pertumbunan PTP yang luar biasa selama ini jelas menunjukkan nilai tambah sektor maritim kepada kesejahteraan ekonomi Malaysia serta kepentingan ekonomi perdagangan kepada negara.

"Memandangkan pelabuhan adalah penyumbang penting kepada perdagangan antarabangsa Malaysia, secara tidak langsung sektor ini amatlah penting kepada kemakmuran ekonomi negara yang bergantung kepada aspek perdagangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas acara meraikan pencapaian PTP, di pelabuhan itu, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTP, Marco Neelsen.

Pada November lalu, PTP juga berjaya merekodkan beberapa pencapaian lain termasuk memecahkan rekod kendalian sebanyak 10 juta TEU.

Malah, fasiliti itu menjadi pelabuhan pertama di Asia Tenggara yang menerima kapal kontena terbesar dunia, Evergreen Ever Ace dan kapal kontena berkuasa gas asli cecair (LNG) pertama dan terbesar di dunia; CMA CGM Jacques Saade.

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan Johor berbangga dengan pertumbuhan dan sumbangan yang dibuat PTP sejak penubuhannya pada awal 2000.

"PTP mempunyai rekod prestasi cemerlang bukan sahaja dalam industri maritim dan logistik tempatan malah kejayaannya membangunkan masyarakat sekitar khususnya di Gelang Patah.

"PTP bukan sahaja dilengkapi kemudahan terminal moden malah memberi peluang besar kepada masyarakat setempat dari segi peluang pekerjaan dan pelbagai rangsangan pembangunan ekonomi yg lain," katanya.

Dalam pada itu, Marco berkata, susulan pencapaian memberangsangkan PTP itu, pelabuhan itu akan melabur RM750 juta bagi mengembangkan kapasitinya, tahun ini.

"Antara pelan yang sudang dirancang adalah perluasan kawasan zon bebas cukai PTP di Tanjung Adang yang dijangka siap dibina pada awal 2023," katanya.

hm0701weeka

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap selepas melakukan lawatan kerja di Terminal PTP Gelang Patah. –fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 7:10 AM