Azman
Azman
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: AmBank dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) menawarkan geran sehingga RM1 juta kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat tahap pertengahan (MTC) menerusi Geran Automasi Pintar Mida (SAG).

   Geran itu disalurkan kepada PKS dan MTC layak berdasarkan asas padanan atau 50 peratus daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan.

   Ketua Pegawai Eksekutif Mida, Datuk Azman Mahmud berkata, kerjasama antara dua entiti itu membantu syarikat berkaitan ke arah automasi dan digitalisasi dalam operasi dan proses pengeluaran.

  "SAG bukan hanya dapat meningkatkan tahap daya saing dan keupayaan industri Malaysia, malah dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah selain mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor bernilai tambah tinggi.

   "Inisiatif SAG adalah sebahagian daripada dana bernilai RM100 juta diperuntukkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dilancarkan Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 2 Disember lalu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

   Terdahulu, AmBank memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Mida untuk menawarkan PKS dan MTC peluang menjadi sebahagian daripada SAG.

   Kerjasama antara AmBank dan Mida adalah untuk membantu memperbaiki pengetahuan PKS dan MTC dalam perkara berkaitan automasi dan digitalisasi.

   Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, syarikat perbankan itu menjadi institusi kewangan pertama bekerjasama dengan Mida untuk menawarkan PKS dan MTC bantuan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar ketika ini.

   "Menerusi kerjasama ini, kami mampu berkongsi kepakaran dan sumber dengan syarikat berkenaan bagi membantu perniagaan masa depan mereka.

  "Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada program AmBank BizRACE untuk membangunkan pelanggan dalam beberapa aspek utama Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), digitalisasi dan industri halal selaras dengan agenda kelestarian AmBank," katanya.

   Bagi membolehkan PKS dan MTC memohon SAG, syarikat berkenaan perlu terbabit aktiviti pengeluaran atau perkhidmatan sejak 12 bulan lalu sebelum dipertimbangkan memperoleh geran berkenaan.

  Untuk memenuhi syarat mendapatkan insentif itu, mesin automatik, peralatan atau perisian dibeli melalui SAG mesti digunakan secara langsung dalam rantaian nilai syarikat bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

   Penambahbaikan dinilai berdasarkan pelbagai kriteria seperti pengurangan pekerja tidak mahir, jam kerja, kadar kecacatan dan peningkatan jumlah pengeluaran.

   PKS dan MTC yang berminat boleh mengemukakan permohonan ke pelbagai industri dan bahagian perkhidmatan di Mida.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 7:10 AM