CHRISTOPHER
CHRISTOPHER
Nur Izzati Mohamad

Georgetown: AmBank (M) Bhd (AmBank) komited membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan melalui Cabaran Keusahawanan AmBank BizRACE.

Usahawan yang mempunyai perniagaan lebih satu tahun, pendapatan tahunan kurang daripada RM100 juta dan mencari cara mengembangkan perniagaan berpeluang menerima ganjaran bernilai RM2 juta menerusi AmBank BizRACE.

Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank, Christopher Yap Huey Wen berkata, pihaknya menetapkan kriteria itu bagi memastikan hanya PKS yang mempunyai komitmen dan semangat untuk membawa serta mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi layak menerima ganjaran terbabit.

Katanya, cabaran musim kedua yang akan berlangsung sehingga 24 Disember itu memberi kelainan berbanding musim pertama tahun lalu.

“Sebagai institusi kewangan, AmBank bukan hanya memberi pinjaman kewangan semata-mata, sebaliknya cuba membantu PKS untuk meningkatkan skala perniagaan dan kemahiran dalam usaha mengurangkan kadar kegagalan yang dialami.

“Oleh itu, pelaksanaan AmBank BizRACE dan siri jelajah persidangan AmBank akan membantu mengenal pasti usahawan yang inginkan kejayaan dalam perniagaan mereka dengan menyediakan platform terbaik menerusi program ini,” katanya di majlis pelancaran program itu di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan Portfolio Pembangunan Perbankan Perniagaan AmBank, Tay Ming Han.

Huey Wen berkata, mengikut statistik pada tahun lalu, kadar pinjaman yang tidak mampu dibayar balik oleh PKS meningkat RM3 bilion iaitu daripada RM7 bilion pada 2016 kepada RM10 bilion.

Angka itu, katanya, menunjukkan kadar kegagalan dialami usahawan PKS begitu tinggi dan perlu dibantu memandangkan 95 peratus ke 96 peratus tumpuan perniagaan di negara ini membabitkan sektor PKS.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai usahawan akan menyertai cabaran musim kedua itu.

Tahun lalu, katanya, seramai 1,000 usahawan PKS menyertai cabaran itu selepas pihaknya mengadakan jelajah persidangan perniagaan di seluruh negara.

Bagi cabaran tahun ini, pemenang berpeluang mendapat pendedahan media untuk perniagaan mereka, pengalaman program pembangunan eksekutif bernilai RM310,000, program Pembangunan Eksekutif yang berpangkalan di United Kingdom bernilai RM265,000 dan lawatan lapangan pembelajaran di China bernilai RM340,000.

Selain itu, AmBank turut menawarkan Anugerah Pendidikan Eksekutif UTM-Azman Hashim International Business School (AHIBS) bernilai RM21,000, Anugerah Strategi Pemasaran Media Prima bernilai RM30,000 dan Anugerah Transformasi Digital bernilai RM50,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 2:01 PM