Charon Wardini
Charon Wardini
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menawarkan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) mendapat manfaat daripada Geran Automasi Pintar (SAG) MIDA.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, MoU itu menggariskan hubungan erat antara MIDA dan MIDF serta komitmen bersama mereka untuk menyokong syarikat yang ingin melaksanakan automasi dan pemodenan.

"Sebagai sebuah negara, kita perlu meningkatkan produktiviti dan nilai tambah perniagaan Malaysia kepada tahap lebih baik dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. Melabur dalam automasi dan pendigitalan adalah antara cara untuk mencapainya," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kerjasama itu untuk mempromosikan dan memudahkan penggunaan SAG melalui pakatan strategik.

"Di bawah pakatan ini, MIDA akan memberikan geran kepada syarikat yang layak manakala MIDF akan menawarkan pembiayaan kepada syarikat ini untuk baki perbelanjaan mereka.

"Selain itu, syarikat yang layak dan menikmati kemudahan pembiayaan daripada MIDF dapat mengurangkan komitmen kewangan mereka selepas permohonan untuk SAG berjaya," katanya.

Katanya, inisiatif SAG, yang diperkenalkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan peruntukan awal RM100 juta dilancarkan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2 Disember 2020.

Menurutnya, geran itu diberikan kepada PKS dan MTC yang layak pada asas padanan atau 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang layak sehingga had maksimum geran RM1 juta bagi setiap syarikat.

"Berdasarkan sambutan yang menggalakkan untuk SAG, kerajaan mengumumkan dana tambahan RM50 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) untuk mendorong lebih banyak PKS dan MTC meningkatkan operasi dan pengeluaran mereka melalui automasi dan pendigitalan," katanya.

Katanya, PKS dan MTC yang telah menjalankan aktiviti pembuatan atau perkhidmatan sejak 12 bulan lalu layak dipertimbangkan untuk SAG.

"Mesin, peralatan atau perisian automatik yang dibeli melalui geran ini mesti digunakan secara langsung dalam rantaian nilai syarikat untuk layak mendapat insentif ini," katanya.

Katanya peningkatan dalam dua komponen - produktiviti dan kecekapan, akan dinilai berdasarkan pelbagai kriteria seperti mengurangkan pekerja tidak mahir, jam kerja, kadar kecacatan dan peningkatan dalam jumlah pengeluaran.

"Syarikat yang berminat disaran untuk mengemukakan permohonan kepada pelbagai bahagian industri dan perkhidmatan di MIDA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 7:01 AM