(Tiga dari kanan) Ketua Pegawai Operasi Aset Kayamas, Datuk Lee Chan Kuen, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) dan Pengasas dan Pengarah Urusan Aset Kayamas, Tan Sri Cai Kin Kong (kanan sekali) melihat model skala Antara Genting Highlands.
(Tiga dari kanan) Ketua Pegawai Operasi Aset Kayamas, Datuk Lee Chan Kuen, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) dan Pengasas dan Pengarah Urusan Aset Kayamas, Tan Sri Cai Kin Kong (kanan sekali) melihat model skala Antara Genting Highlands.
Hafiz Ithnin


Genting Highlands: Aset Kayamas Sdn Bhd (Kayamas) memperkenalkan projek keduanya pada tahun ini, Antara di Genting Highlands dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan melebihi RM2 bilion.

Projek bersepadu seluas kira-kira 2.1 hektar itu menawarkan 1,460 unit terdiri daripada empat blok kediaman mewah dengan ketinggian 44 tingkat yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2026.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Chai Kin Kong berkata, Blok B dan D masing-masing mempunyai 374 unit manakala, Blok B dan C terdiri daripada 356 unit berasingan.

Beliau berkata, empat blok itu dinamakan sempena unsur kebudayaan masyarakat Bali iaitu Ayu Resort Suites bagi Blok A dan B manakala, Air Resort Suites dinamakan untuk Blok C dan B.

"Unit jenis A berkeluasan 520 kaki persegi terdiri daripada satu bilik tidur dan satu bilik air. Manakala, unit jenis B seluas 800 kaki persegi mempunyai dua bilik tidur serta dua bilik air.

"Terdapat dua jenis pilihan saiz bagi unit jenis C iaitu 1,030 kaki persegi dan 1,066 kaki persegi. Dengan pelan lantai yang luas, unit jenis C dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, satu bilik solek dan kolam pusaran air peribadi," katanya pada majlis perasmian Galeri Jualan Antara di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail yang turut melihat kehadiran Antara mampu merancakkan lagi industri pelancongan di Genting Highlands.

Projek terbaru Aset Kayamas di Genting Highlands.
Projek terbaru Aset Kayamas di Genting Highlands.

Sementara itu, Wan Rosdi berkata, kehadiran pelabur hartanah juga membantu kerajaan Pahang menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat di negeri itu.

Jelasnya, berdasarkan dasar kerajaan negeri bagi projek kediaman melebihi 2.02 hektar, pemaju perlu menyediakan 30 peratus kediaman mampu milik untuk membantu rakyat memiliki rumah.

"Namun, kita juga perlu bersifat mesra pelabur dengan melihat situasi projek itu didirikan. Contohnya, menerusi projek Antara di Genting Highlands tidak sesuai untuk pemaju mendirikan rumah mampu milik kerana ia terletak di kawasan peranginan.

"Justeru, kita meminta mereka membayar kepada kerajaan negeri untuk membangunkan rumah mampu milik di kawasan lain sebagai timbal balik. Namun, tidak semua kita bagi pengecualian seperti ini," katanya.

Harga jualan unit kediaman Antara ditawarkan pada harga purata RM1,600 satu kaki persegi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 4:17 PM