KEMUDAHAN mewah ditawarkan The Minh.
KEMUDAHAN mewah ditawarkan The Minh.
Hafiz Ithnin


UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) mengumumkan bahawa jualan pembangunan yang terbaru di Mont'Kiara, The Minh dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada Mei lalu.

Reka bentuk berinspirasikan Indochine itu mendapat sambutan menggalakkan selepas menara pertamanya, Menara B merekodkan kadar tempahan sebanyak 70 peratus ketika pratonton bersama rakan kerjasama dan ahli kesetiaan premium UEM Sunrise, TrÈsorians.

Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong berkata, The Minh adalah singkatan daripada 'Mont'Kiara Indochine-inspired Nature Homes' yang bermaksud 'cahaya' dalam bahasa Vietnam.

Kediaman berkenaan diinspirasikan daripada ekspresi reka bentuk Indochine, gaya dari gabungan harmoni reka bentuk Kolonial Perancis bersama perincian dan tradisi reka bentuk vernakular di Vietnam.

Jelasnya, projek itu terletak di kawasan perumahan yang damai di sepanjang Jalan Kiara 7 dan di tapak bertingkat bersebelahan dengan Bukit Kiara.

Kediaman mewah ini terdiri daripada 496 unit dengan dua menara, setiap satu mempunyai 42 tingkat dengan hanya enam unit di setiap tingkat.

"The Minh menampilkan empat jenis susun atur bilik, A, B, C dan D dengan keluasan antara 149 meter 1,607 kaki persegi hingga 3,010 kaki persegi. Jenis A dan B tampil dengan konsep reka bentuk banglo.

PROJEK kediaman mewah yang menarik untuk dijadikan pelaburan.
PROJEK kediaman mewah yang menarik untuk dijadikan pelaburan.

REKA bentuk dalaman yang luas.
REKA bentuk dalaman yang luas.

"Manakala Jenis C dan D tampil dengan reka bentuk berkembar bersama lobi lif peribadi, kawasan lantai serba boleh dan suite junior.

"Memandangkan kedua-dua unit itu terletak bersebelahan, ia boleh digabungkan menjadi sebuah unit banglo mega dengan keluasan 5,743 kaki persegi dengan lif peribadi dalaman sendiri, sesuai untuk pemilik yang gemarkan kediaman lebih privasi," katanya.

Tambahnya, bilik tidur dan suite junior direka dengan ciri - ciri serba cukup, memberi fleksibiliti dan melengkapi keperluan kehidupan pelbagai generasi di dalam sebuah kediaman yang sama.

"Ia adalah sebahagian daripada langkah syarikat di dalam norma baharu bagi menyediakan ruang yang turut boleh berfungsi secara sendiri. Selain itu, setiap unit dilengkapi dengan satu soket mesra pengecas kenderaan elektrik (EV), membolehkan pemilik mengecas kenderaan elektrik mereka dengan mudah dan selamat.

"Berdiri megah seiring dengan latar langit Mont'Kiara yang menakjubkan, penghuni tentunya dapat menikmati pemandangan persekitaran yang indah termasuk latar langit bandar, Bukit Kiara atau Kuala Lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 6:45 AM