AMINUDDIN (tengah) dan Harith (tiga kanan) pada majlis pecah tanah. FOTO Mohd Amin Jalil.
AMINUDDIN (tengah) dan Harith (tiga kanan) pada majlis pecah tanah. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Syarikat pengeluar semikonduktor dan komponen elektronik global Belanda, Nexperia Malaysia Sdn Bhd (Nexperia) mengembangkan lagi operasi di negara ini dengan meningkatkan nilai pelaburannya sebanyak RM1.68 bilion menjelang 2026.

Naib Presiden dan Pengurus Besar Nexperia Malaysia, Harith Alvin Cyrill Abdullah berkata, pertambahan nilai pelaburan itu membabitkan pembinaan tambahan fasiliti, peralatan dan automasi di kilang NeXperia sedia ada di Taman Tuanku Ja`afar, Senawang.

Katanya, ia dilakukan bagi memenuhi permintaan produk di pasaran global yang terus meningkat walaupun masih berdepan dengan pandemik.

"Projek ini termasuk pembinaan bangunan tambahan empat tingkat yang akan memberi peluang bagi Nexperia Malaysia menggandakan kapasiti pengeluaran menjelang tahun 2026.

"Ia sebahagian daripada langkah ke hadapan kami untuk meningkatkan tiga kali ganda kapasiti pengeluaran berbanding yang sedia ada, malah usaha ini juga bagi memenuhi standard piawaian industri 4.0 dalam menyokong pertumbuhan produk tenaga penting untuk industri automotif di Malaysia," katanya ketika Majlis Pecah Tanah Kilang Nexperia di Senawang, di sini, semalam.

Majis disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek serta Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Negeri Sembilan, Zetty Hamimi Zakaria.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha Nexperia yang merupakan syarikat elektrikal dan elektronik (E&E) utama di dunia untuk terus berkembang di Negeri Sembilan.

"Pengembangan bangunan baru ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk lebih 1,000 rakyat Malaysia, terutamanya di Negeri Sembilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 10:27 AM