Mohd Amin Jalil


Seremban: Pelaburan sebanyak RM7 bilion oleh Samsung SDI Energy Malaysia (SDIEM) menerusi pembinaan kilang sel bateri Kenderaan Elektrik (EV) di sini, bakal membantu memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia selaras dengan Pelan Induk Konsep Bersepadu Negeri Sembilan tahun 2021–2045.

Beliau berkata, ia akan memberi impak positif kepada ekonomi negeri dan kehidupan rakyat negeri ini.

"Selain menawarkan lebih 1,300 peluang pekerjaan untuk warga tempatan khususnya belia di Negeri Sembilan, pembinaan kilang baharu ini juga akan mewujudkan banyak peluang perniagaan untuk rakyat tempatan.

DATUK Seri Aminuddin Harun (tengah) mendengar penerangan mengenai produk keluaran Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd. FOTO Bernama
DATUK Seri Aminuddin Harun (tengah) mendengar penerangan mengenai produk keluaran Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd. FOTO Bernama

"Kita (kerajaan negeri) yakin pembinaan kilang baharu ini akan mengukuhkan lagi tapak Samsung di Negeri Sembilan serta Malaysia.

"Selain itu, ia bakal menjadi asas untuk pelabur menghasilkan produk yang lebih kompleks, malah menjadi perintis kepada industri sel bateri EV di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kilang Baharu (SDIEM) di Kawasan Perindustrian Taman Tuanku Jaafar Senawang, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melalui rakaman video.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar; Ahli-Ahli Exco Kerajaan negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik dan Duta Korea Ke Malaysia, Lee Chi Beom serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samsung SDI, Yoon Ho Choi.

Aminuddin berkata, menjadi fokus utama kerajaan negeri untuk memberi galakkan kepada kemasukan pelaburan baharu yang berkualiti, berteknologi tinggi dan berimpak tinggi.

Menurutnya, konsep mesra pelabur sentiasa diberikan penekanan terhadap setiap pelabur di negeri ini melalui kemudahan fasiliti dan memudahcara.

"Melalui langkah itu, Negeri Sembilan berjaya menarik pelaburan yang memberangsangkan dan meningkat setiap setahun selepas sebanyak RM2.86 bilion nilai pelaburan direkodkan pada 2018 diikuti RM3.68 bilion (2019) dan RM7.93 bilion pada 2020.

"Bagaimanapun susulan pandemik Covid-19, kita hanya berjaya menarik nilai pelaburan sebanyak RM5.76 bilion pada tahun lalu.

"Saya pasti pelaburan baharu Samsung ini bakal memberi impak positif dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 4:18 PM