ABDUL Wahid (dua dari kiri) pada Persidangan Tadbir Urus dan Jaminan PNB-USIM,  semalam.
ABDUL Wahid (dua dari kiri) pada Persidangan Tadbir Urus dan Jaminan PNB-USIM, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Sebagai usaha untuk mempertingkatkan pasaran patuh syariah, Permodalan Nasional Berhad (PNB) sentiasa bersikap terbuka kepada lebih banyak penyertaan daripada institusi kewangan Islam tempatan untuk disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pihaknya sentiasa berbesar hati dan akan menyokong usaha syarikat serta institusi kewangan Islam dalam negara untuk menjadi entiti perniagaan yang disenaraikan.

Beliau berkata, setakat ini kira-kira 60 peratus syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah patuh syariah, bagaimanapun masih wujud jurang yang besar daripada segi perkhidmatan kewangan yang hanya membabitkan dua peratus saja.

“Buat masa ini, hanya dua peratus institusi kewangan yang tersenarai menawarkan saham patuh syariah di Malaysia.

“Berdasarkan situasi ini, kami berharap pada masa akan datang ada lebih banyak penyertaan dalam kalangan institusi kewangan Islam untuk disenaraikan bagi menggalakkan penawaran saham Islamik dalam pasaran modal,” katanya pada sidang media Persidangan Tadbir Urus dan Jaminan PNB-USIM, di sini, semalam.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Musa Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Mohamed Rafique Merican Mohd Wahiduddin Merican dan Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Persidangan itu anjuran Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) USIM dengan kerjasama PNB dan Maybank Islamic dalam membincangkan kepentingan pematuhan syariah sejajar dengan perkembangan institusi berasaskan syariah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 2:27 AM