Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) mencadangkan kerajaan supaya mengkaji semula dan mengurangkan langkah penyejukan dalam sektor hartanah melalui pembentangan Bajet 2016, bulan depan bagi menangani cabaran ekonomi semasa.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Lim Hock San berkata, antara cadangan itu ialah melihat semula Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) bagi mengalakkan rakyat Malaysia melabur dan menaik taraf keperluan perumahan masing-masing khususnya pembelian rumah kedua.

“Langkah ini akan mewujudkan lebih banyak aktiviti dalam pasaran hartanah, sekali gus menjadi perangsang utama dalam industri pasaran hartanah tempatan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) digesa lebih fleksibel dalam garis panduan pembiayaan akhir dan memberikan lebih banyak pengecualian kepada pembeli rumah kali pertama.

“Galakan ini juga harus diberikan kepada mereka yang ingin meningkatkan taraf hidup dengan membeli rumah kedua didorong oleh penambahan ahli keluarga atau peningkatan pendapatan isi rumah,” katanya.

LBS turut menyarankan kerajaan mengawal dan membuat polisi untuk mengurangkan kos bahan binaan bagi pembangunan perumahan mampu milik.

Lim berkata, kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak manfaat kepada masyarakat setempat dan pembangunan sekitar seperti menaik taraf infrastruktur sedia ada serta menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam.

“Pihak berkuasa harus mengawal harga tanah daripada meningkat ke tahap melampau dan memastikan nilai terbabit tidak menjadi lebih tinggi daripada harga jualan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan diharap meneliti semula polisi pemilikan hartanah warga asing di negara ini dengan mengurangkan harga minimum kepada RM500,000 seperti sebelum ini berbanding RM1 juta pada masa ini bagi membantu meningkatkan nilai ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 6:10 AM