MAH Sing turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan insentif kepada pemaju hartanah yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Model Bangunan Bermaklumat (BIM) dalam pembangunan projek terutama membabitkan komponen mampu milik.
MAH Sing turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan insentif kepada pemaju hartanah yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Model Bangunan Bermaklumat (BIM) dalam pembangunan projek terutama membabitkan komponen mampu milik.

KUMPULAN Mah Sing berharap tempoh pembiayaan kediaman dipanjangkan ke 40 tahun dapat dicadangkan pada pembentangan Belanjawan 2024 bulan depan.

Selain itu, ia juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk merujuk kepada pendapatan kasar dan bukannya pendapatan bersih ketika semakan permohonan pinjaman dibuat.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Group Bhd, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kerajaan juga disyorkan menawarkan pengecualian cukai ke atas faedah yang ditanggung semasa pembinaan.

"Langkah ini ideal untuk mempromosikan pemilikan kediaman dengan menawarkan penjimatan cukai langsung kepada pembeli," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, antara yang turut perlu dipertimbangkan kerajaan menerusi Belanjawan 2024 adalah menghidupkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan Skim Pembiayaan Dipertingkatkan untuk pembeli kediaman pertama yang dilihat langkah strategik memandangkan industri hartanah menyediakan kesan pengganda ketara ke atas lebih 140 industri lain.

"Kerajaan dicadangkan menghidupkan semula HOC kerana insentif yang ditawarkan di bawah kempen ini terbukti penting dalam membantu pembeli rumah memiliki kediaman, selain dapat mengurangkan jumlah unit yang tidak terjual seperti pengecualian duti setem sepenuhnya untuk hartanah berharga RM300,001 hingga RM1 juta.

"Selain itu, kami turut mencadangkan Geran Pembeli Rumah Kali Pertama secara one-off sebanyak RM30,000 untuk hartanah berharga sehingga RM500,000 dan/atau mengaktifkan semula program Skim MyHome kepada pembeli yang layak," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya kerajaan diharap dapat menyemak semula dan menyeragam harga ambang minimum kepada RM600,000 di semua negeri untuk menarik warga asing melabur dalam pasaran hartanah tempatan.

"Kami juga mencadangkan supaya kerajaan dapat memasukkan lebih banyak dasar menarik dalam Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan Program Visa Premium (PVIP) agar lebih berdaya saing menggalakkan lebih ramai warga asing yang layak menetap serta melabur di Malaysia.

"Di bawah MM2H, kami mengharapkan kerajaan mempertimbangkan cadangan mengurangkan pendapatan minimum, kecairan aset dan deposit tetap berbanding nilai ambang yang tinggi ketika semakan pada 2021.

"Kerajaan wajar mewujudkan kelas permohonan yang berbeza yang disesuaikan untuk pelbagai pemohon asing dan semua pemegang pas MM2H sedia ada tidak boleh dipengaruhi oleh peraturan baharu, selain tempoh pas MM2H kekal pada 10 tahun," katanya.

Mah Sing turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan insentif kepada pemaju hartanah yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Model Bangunan Bermaklumat (BIM) dalam pembangunan projek terutama membabitkan komponen mampu milik.

"Ini akan menggalakkan lebih ramai pemaju hartanah untuk mengguna pakai IBS dan BIM, menghasilkan pembangunan berkualiti tinggi, mengurangkan pergantungan buruh, meningkatkan kekemasan tapak dan meningkatkan produktiviti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 6:05 AM