PENIAGA, Siti Nazirah Shuib, 24, menyiapkan jualan nasi lemak di trak makanan pagi ketika tinjauan di sekitar Taman Perpaduan, Ipoh.
PENIAGA, Siti Nazirah Shuib, 24, menyiapkan jualan nasi lemak di trak makanan pagi ketika tinjauan di sekitar Taman Perpaduan, Ipoh.
Syarifah Dayana Syed Bakri


MORATORIUM selama enam bulan yang ditawarkan kepada semua peminjam individu merangkumi B40, M40 atau T20 dan usahawan mikro tanpa dikenakan syarat bukan bermaksud pinjaman dimaafkan.

Sebaliknya, ia tidak mempunyai faedah berkompaun, iaitu tidak dikenakan faedah ke atas faedah dan hanya faedah terkumpul dikenakan seperti biasa apabila bayaran dibuat semula selepas tamat tempoh enam bulan itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelanggan juga tidak dikenakan penalti dan tidak direkodkan dalam CCRIS bagi mereka yang memilih kemudahan moratorium.

"Ada yang ingin membayar semula dengan kadar bayaran balik asal selepas tempoh moratorium selesai, ada juga yang ingin bayar dengan jumlah yang lebih rendah dan memanjangkan tempoh bayaran balik.

"Bagi mereka yang memilih untuk melanjutkan tempoh bayaran pinjaman lebih lama dari tempoh asal, sudah tentu faedah yang perlu dibayar lebih tinggi, tetapi perkara ini perlu dirunding dengan bank masing-masing.

"Mana-mana peminjam yang masih menghadapi kesukaran selepas berunding dengan bank mereka boleh menghubungi BNMTELELINK di bnm.my/RAsurvey," katanya dalam laporan Laksana ke-59 yang dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, bagaimanapun hutang kad kredit masih perlu dibayar namun jika pelanggan berdepan kesukaran, ia boleh ditukar kepada pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah.

"Ini bermakna, pelanggan masih berhutang, tetapi kosnya lebih rendah dan masa untuk membayar juga menjadi lebih panjang," katanya.

Tengku Zafrul berkata, pemberian moratorium ini adalah langkah sementara saja, iaitu sebahagian daripada inisiatif Pelan Pemulihan Negara.

"Ia perlu dilihat bersama dengan usaha kita untuk mempercepatkan peralihan ke fasa PKP seterusnya.

"Lagi cepat kita beralih fasa, lagi cepat pelbagai sektor boleh beroperasi, maka lagi cepat pemulihan ekonomi kita.

"Sekiranya rakyat sudah boleh keluar mencari rezeki, lebih cepat kita dapat memperolehi kehidupan kita semula," katanya.

Menurutnya, pakej moratorium ini dianggarkan akan memberi kelegaan sehingga RM80 bilion kepada peminjam individu dan perniagaan.

"Ini kali kedua Malaysia memperkenalkan moratorium pinjaman secara menyeluruh selepas kali pertama diperkenalkan pada Mac tahun lalu.

"Tiada negara lain di dunia yang memberikan moratorium menyeluruh seperti ini, malah kebanyakannya hanya menyediakan bantuan pinjaman secara bersasar dan terhad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 7:01 AM