Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mohd Zaky Zainuddin


Putrajaya: Bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium automatik yang ditawarkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh bank dalam satu perbincangan baru-baru ini, selepas kerajaan membangkitkan perkara terbabit.

"Fokus utama pemberian moratorium ini adalah untuk membantu rakyat dan perniagaan yang kini dalam kesusahan akibat Covid-19 dalam menguruskan aliran tunai," katanya pada sidang media maya mengenai Pemulih, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, konsep pelaksanaan moratorium automatik yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam adalah sama seperti mana dilaksanakan tahun lalu.

Katanya, pelanggan terdiri daripada individu, perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan melalui proses dan kaedah sama seperti mana moratorium sebelumnya.

"Penawaran moratorium automatik terbaharu kepada rakyat dan perniagaan ini juga bukan sifar kadar faedah sepanjang tempoh penangguhan. Kadar faedah bergantung kepada bank masing-masing termasuk jenis produk pinjaman yang ditawarkan kepada pelanggan.

"Kaedah adalah sama dengan moratorium automatik sebelum ini. Bukan sifar kadar faedah. Perlu difahami adalah moratorium ialah bantuan penangguhan bayaran balik yang mana bank bersetuju bantu mereka terkesan secara automatik.

"Pelanggan perlu rujuk dan berbincang dengan bank untuk mengetahui kadar faedah kerana semua bank adalah berbeza ," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan peka dengan kesusahan yang dialami rakyat dan perniagaan, namun mungkin ada yang tidak memerlukan moratorium automatik terbabit.

"Bantuan moratorium ini adalah terjamin untuk golongan B40, M40, T40, perusahaan mikro dan PKS," katanya.

Ditanya sama ada pemberi moratorium automatik itu akan memberi impak kewangan kepada bank, beliau menjelaskan, kerajaan percaya institusi perbankan mampu menyerap implikasi terbabit.

"Berdasarkan perbincangan dengan bank sebelum ini, mereka memiliki kemampuan untuk menawarkan moratorium selama enam bulan kepada pelanggan berdasarkan keupayaan dari aspek penampan kewangan yang kukuh," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej Pemulih bernilai RM150 bilion, bertujuan membantu rakyat dalam berdepan penularan wabak Covid-19.

Ia antara lain meliputi pemberian moratorium selama enam bulan kepada semua peminjam tanpa syarat.

Ia membabitkan semua sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.

Permohonan akan dibuka pada 7 Julai nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 4:10 PM