Pelanggan Maybank mempunyai pilihan untuk memilih jangka masa yang lebih sesuai untuk tempoh bayaran balik pembiayaan.
Pelanggan Maybank mempunyai pilihan untuk memilih jangka masa yang lebih sesuai untuk tempoh bayaran balik pembiayaan.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Maybank menjelaskan bahawa pakej bantuan bayaran balik yang disediakan pihaknya menawarkan ansuran bulanan paling rendah.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Maybank berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kesukaran yang dihadapi oleh pelanggannya dalam tempoh pandemik ini.

"Lanjutan tempoh pembayaran di bawah pakej bantuan bayaran balik Maybank, sememangnya didatangkan dengan ansuran bulanan lebih rendah.

"Ini kerana kami memahami bahawa walaupun tempoh moratorium berakhir, sebilangan pelanggan kami berkemungkinan masih menghadapi beberapa cabaran dalam membuat pembayaran bulanan penuh mereka.

"Oleh itu, ansuran bulanan yang lebih rendah ditawarkan untuk meringankan lagi beban kewangan pelanggan dengan jumlah pembayaran bulanan yang lebih terkawal," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pelanggan Maybank bagaimanapun mempunyai pilihan untuk memilih jangka masa yang lebih sesuai untuk mereka.

Perincian mengenai pilihan ini juga sudah dimasukkan dalam halaman Soalan Lazim Skim Bantuan Kewangan Covid-19 Maybank yang terdapat di maybank2u.com.my.

Maybank menjawab mengenai isu tempoh lanjutan yang ditawarkan kepada pelanggan pinjaman sewa belinya yang tular hari ini dan didakwa menekan rakyat.

Menerusi gambar tangkapan skrin yang tular itu menunjukkan dua pilihan tersedia kepada pelanggan bagi pinjaman sewa beli iaitu pilihan pertama adalah penangguhan ansuran bulanan selama tiga bulan dengan lanjutan tempoh bayaran selama 12 bulan.

Bagi pilihan kedua pula, ia menawarkan penangguhan bayaran bulanan selama enam bulan dengan lanjutan tempoh bayaran sehingga 24 bulan.

Perkara ini juga menimbulkan pelbagai spekulasi dan persoalan kepada orang ramai terutama mereka yang ingin memohon moratorium melalui pakej Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan (Pemulih) yang diumumkan semalam kerana khuatir akan terbeban dengan tempoh pembayaran balik yang terlalu panjang.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi sidang media hari ini berkata, bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium automatik yang ditawarkan menerusi Pemulih.

Katanya, perkara itu telah dipersetujui oleh bank dalam satu perbincangan baru-baru ini, selepas kerajaan membangkitkan perkara terbabit.

"Fokus utama pemberian moratorium ini adalah untuk membantu rakyat dan perniagaan yang kini dalam kesusahan akibat Covid-19 dalam menguruskan aliran tunai," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, konsep pelaksanaan moratorium automatik yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam adalah sama seperti mana dilaksanakan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 7:12 PM