AZIZAN. FOTO Arkib NSTP
AZIZAN. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mentor Usahawan, Datuk Wira Azizan Osman kini antara pemegang saham utama bagi ManagePay Systems Berhad (MPay) selepas memperolehi 5.762 peratus kepentingan.

Berdasarkan pengumuman dikeluarkan Bursa Malaysia hari ini, Azizan kini mempunyai pegangan langsung berjumlah 44 juta unit saham dalam syarikat itu.

Malah Mpay turut memaklumkan bahawa Macquarie Bank dari Australia telah menghantar Notis Langganan dan Jumlah Pembayaran bagi 10 juta unit saham pada harga RM0.214 sen seunit semalam.

Mpay telah memperuntukkan dan mengeluarkan penempatan saham bagi Macquarie Bank hari ini dan dijangka disenarai pada 22 Jun ini.

Azizan adalah seorang mentor usahawan yang mana hasil bimbingan dan latihan dijalankan bersama sekitar 700 usahawan pelbagai industri pada tahun lalu berjaya mencatatkan peningkatan jualan luar biasa kepada RM2.2 bilion berbanding sekitar RM900 juta pada 2019.

Mpay adalah penyedia solusi bagi e-pembayaran bagi bank-bank dan institusi kewangan, peruncit dan pemegang kad yang beroperasi di negara ini.

Syarikat ini telah berada dalam Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan modal pasaran melebihi RM120 juta.

Pada Julai tahun lalu, Mpay dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa anak syarikatnya, ManagePay Services Sdn Bhd telah mengadakan usaha sama dengan syarikat khusus untuk menubuhkan sebuah syarikat yang akan menjadi bank digital dengan kelulusan dari Bank Negara Malaysia (BNM).

MPay bekerjasama dengan Passion Venture Capital Pte Ltd (PVC) yang berpangkalan di Singapura untuk memohon lesen dan mengendalikan perbankan digital di Malaysia.

Di bawah syarikat usaha sama itu, MPay akan memiliki 51 peratus kepentingan sementara baki 49 peratus akan dipegang oleh PVC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:20 PM