Antara cawangan Affin Bank di Kuala Lumpur.
Antara cawangan Affin Bank di Kuala Lumpur.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Affin Bank Bhd berkata pemegang saham utamanya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah mengesahkan laporan berita bahawa tabung angkatan tentera itu sedang berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk "kemungkinan urus niaga membabitkan saham tambahan," dalam bank tersebut.

"Selepas dirujuk dengan LTAT, pemegang saham utama syarikat berkenaan, LTAT telah memaklumkan bahawa mereka sedang berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk potensi urus niaga saham tambahan dalam Affin Bank. Sebarang transaksi yang mungkin terhasil daripada perbincangan akan dibuat mengikut peraturan dan syarat yang berkaitan," katanya dalam satu makluman kepada bursa saham sebagai respons kepada laporan berita itu.

Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak memiliki 4.796 peratus saham dalam Affin Bank setakat 29 Disember 2023.

"Affin akan membuat pengumuman selepas menerima pemberitahuan mengenai sebarang perubahan dalam pegangan saham yang melibatkan pemegang saham utama kami," tambah bank itu.

Laporan itu mendedahkan bahawa Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak hampir memuktamadkan memorandum persefahaman (MOU) yang akan membawa kepada perjanjian bagi memperoleh pegangan tambahan dalam Affin daripada LTAT.

Bank itu berkata menurut Akta Syarikat 2016 dan keperluan penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, LTAT bertanggungjawab untuk memaklumkan Affin tentang sebarang perubahan kepada pegangan saham mereka sebagai mematuhi keperluan atau pelupusan ketara pemegang saham utama.

"Begitu juga, mana-mana pihak yang memperoleh kepentingan 5.0 peratus atau lebih dikehendaki memaklumkan perkara yang sama kepada Affin," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 11:21 AM