SATISHCHANDRE (kiri) dan Pengarah Urusan Sarah Hughes, Ketan Kumar Doshi menunjukkan koleksi baju yang terdapat di Sarah Hughes Globe di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
SATISHCHANDRE (kiri) dan Pengarah Urusan Sarah Hughes, Ketan Kumar Doshi menunjukkan koleksi baju yang terdapat di Sarah Hughes Globe di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Oleh Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Megah dengan bangunan 10 tingkat di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sarah Hughes Globe adalah antara syarikat peneraju fabrik dan pakaian di Malaysia.

Pengarahnya, Satishchandre Pravinchandre Kevalchand Doshi berkata, pihaknya menyediakan pelbagai kelengkapan termasuk pakaian, langsir, perkakas seperti pinggan mangkuk dan juga kelengkapan sekolah.

"Sarah Hughes Globe mempunyai satu cawangan di sini, 10 cawangan bagi Gio Fabric Mall serta 30 cawangan Muaz di seluruh Malaysia.

"Melihat kepada keseluruhan cawangan, kami berusaha dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk pasaran Melayu Muslim termasuk dalam kategori pakaian dan pakaian sekolah kanak-kanak.

"Kami turut menyediakan kelengkapan perhiasan rumah seperti bunga, langsir dan perabot," katanya.

Menurutnya, di Sarah Hughes Globe, pihaknya lebih mengutamakan kepuasan pelanggan ketika membeli-belah berbanding keuntungan.

"Kami mengutamakan kepuasan pelanggan dan sentiasa mempelbagaikan produk untuk memastikan ia menepati selera dan kehendak pelanggan," katanya.

Sarah Hughes Globe memulakan operasi sebagai pembekal fabrik dan mula bertapak di Malaysia kira-kira 40 tahun lalu iaitu sejak 1980-an.

"Ketika itu ia dikenali sebagai Globe dan sangat terkenal termasuk dalam kalangan pelancong. Ada menjadikan Globe sebagai destinasi wajib dikunjungi jika datang ke Kuala Lumpur.

"Namun, selepas beberapa tahun kami menukar jenama kepada Sarah Hughes Globe dan masih mengekalkan konsep sama dengan menampilkan pelbagai produk pada harga berpatutan," katanya kepada Bisnes Metro.

Sempena Aidilfitri yang bakal tiba, Sarah Hughes Globe menawarkan pelbagai jenis pakaian siap, fabrik, dan kelengkapan raya seperti langsir serta pinggan mangkuk.

"Kami memberikan hadiah percuma kepada pelanggan. Dengan setiap pembelian baju Melayu berharga RM129, pelanggan turut mendapat songkok dan kain samping secara percuma," katanya.

Katanya, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan jahitan langsir yang boleh disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Ia khusus untuk pelanggan yang membeli fabrik langsir dari gedung berkenaan.

"Kami akan pastikan penjagaan kualiti seperti warna fabrik, benang dan cara jahitan diberikan penekanan bagi mengekalkan kualiti.

"Kami sentiasa menggunakan benang kapas bagi menjaga kualiti, kecuali sekiranya benang lain diperlukan dalam sesuatu jahitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 7:25 AM