MOHD Ilman Zulhilmi Mohd Hafiz (kiri) dan adiknya, Nur Hana Mohd Hafiz teruja melihat beg sekolah baru yang dipamerkan.
MOHD Ilman Zulhilmi Mohd Hafiz (kiri) dan adiknya, Nur Hana Mohd Hafiz teruja melihat beg sekolah baru yang dipamerkan.
Mohd Wahyuddin Jamil Khair


Kuala Lumpur: Tiada potongan harga istimewa tidak menghalang kebanyakan ibu bapa membeli barangan kelengkapan persekolahan menjelang penggal baru awal bulan depan.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kedai menjual barangan kelengkapan sekolah di sekitar ibu kota mendapati harga yang ditawarkan adalah pada kadar biasa.

Penyelia pusat pakaian Kamdar di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Lilewarni Sailon berkata, walaupun tiada potongan harga, sambutan daripada ibu bapa masih baik.

“Kebanyakan pelanggan yang datang mempunyai anak yang bakal memulakan sesi persekolahan di darjah satu pada tahun hadapan.

“Jadi mereka teruja dan tidak kisah mengenai harga yang ditawarkan,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penyelia di Sara Hughes@Globe, Sumiati Ridwan berkata, harga bagi peralatan persekolahan di situ mengikut ketetapan pengeluarnya.

“Harga yang ditawarkan bagi kelengkapan persekolahan seperti baju adalah daripada RM27 hingga RM42 dan kasut pada RM30 hingga RM44.

“Semua harga ini juga mengikut jenama barangan kelengkapan itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Nurul Hazmiema Azmi, 30, berkata, barangan kelengkapan persekolahan masih perlu dibeli walaupun harganya naik.

“Kelengkapan persekolahan yang baru adalah perlu bagi meningkatkan semangat anak-anak memulakan sesi persekolahan yang baru.

“Jadi mahu atau tidak kita sebagai ibu bapa perlu melupakan seketika mengenai harga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 6:09 AM