PAKAIAN sedondon ibu dan anak menjadi pilihan pelanggan.
PAKAIAN sedondon ibu dan anak menjadi pilihan pelanggan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Bermula dengan penjualan tudung menerusi dalam talian pada 2009, sedikit demi sedikit Noor Diana Alawi mula menghasilkan rekaan pakaian di bawah label Nana Alawi dengan koleksi jubah, blaus dan palazo yang mula mendapat tempat di hati pelanggan.

Berbekalkan pengalaman memulakan perniagaan pada usia 24 tahun dengan penjualan tudung bersengkuap dan sedia dipakai, Noor Diana mula belajar mengenai asas rekaan penghasilan jubah.

"Saya bermula dengan modal RM2,000 yang digunakan untuk membeli fabrik dan menghasilkan jubah mengikut apa yang disukai pelanggan," katanya yang membuka butik pertama di Johor Bahru.

Menyedari pelbagai potongan jubah di pasaran, wanita ini mula memikirkan rekaan yang dapat menambat hati wanita dan pada masa sama memenuhi syariat Islam.

Wanita inginkan jubah longgar, labuh dan selesa dipakai, namun wanita juga mementingkan penampilan sempurna. Dalam erti kata lain, padanan perlu menampakkan unsur moden dan boleh digayakan untuk semua acara.

"Selepas mengambil kira beberapa faktor, terhasillah jubah Nana Alawi yang dihasilkan menggunakan fabrik lycra, namun diberi sedikit kelainan dengan penyambungan fabrik pada bahagian dada agar jubah nampak longgar. Sifat fabrik lycra lembut dan mudah melekat, namun ada cara memotong dan menjahit fabrik ini supaya ia jatuh dan terletak cantik pada tubuh si pemakai," katanya.

Selain jubah, Noor Diana turut mengeluarkan rekaan baju kurung lycra moden dan kurung Pahang dengan sentuhan lebih menawan apabila menggunakan corak yang menjadi pilihan wanita.

Jelasnya, kualiti fabrik serta jahitan menjadi asas utama dalam setiap penghasilan rekaan. Biar secantik mana sekalipun, sekiranya pelanggan tidak selesa ia tidak mampu menambat hati wanita. Keselesaan pula bergantung kepada pelbagai faktor termasuk fabrik, jahitan, potongan dan perinciannya.

"Namun disebabkan kebanyakan pakaian menggunakan lycra bercorak, jadi tidak perlu dikemaskan dengan perincian manik atau sekuin supaya tidak terlalu sarat. Wanita masa kini gemarkan gaya sederhana dan tidak keterlaluan," ujarnya yang turut berkongsi minat dengan kakaknya, Norlina Alawi serta Norlinda Alawi yang mempunyai perniagaan pakaian Muslimah sendiri.

Selain jubah dan baju kurung, koleksi Nana Alawi turut menyediakan jubah sedondon ibu dan anak yang kelihatan lebih versatil dan bergaya. Semuanya bermula kerana permintaan pelanggan yang selesa dengan jenama ini dan meminta supaya Noor Diana menghasilkan pakaian untuk anak pula.

Bagi mengekalkan rekaan eksklusif, Noor Diana sentiasa mengeluarkan rekaan dan corak baru pada setiap bulan agar pelanggan mempunyai pilihan menggayakannya. Istimewanya, setiap corak dan warna tidak akan diulang bagi memberikan nilai eksklusif kepada si pemakai.

Sebagai mengorak langkah ke hadapan, jenama Nana Alawi kini boleh didapati di Kelapak House The Strand Kota Damansara bermula 8 November lalu.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai konsep diketengahkan jenama ini boleh mengunjungi laman sosial Facebook (nana alawi) atau Instagram (nanaalawi).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:00 AM