MOHAMED Faroz menunjukkan ruangan tekstil di Jakel Mall.
MOHAMED Faroz menunjukkan ruangan tekstil di Jakel Mall.

Kuala Lumpur: Jakel Trading Sdn Bhd melebarkan sayap perniagaannya dengan pembukaan Jakel Mall, sekali gus menjadikannya sebagai pusat perniagaan tekstil terbesar di dunia.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, Jakel Mall mempunyai saiz keluasan 300,000 kaki persegi dan mempunyai enam tingkat.

Bermula 19 Februari lalu pihaknya mengadakan promosi khas untuk orang ramai di semua cawangan Jakel seluruh negara.

“Jakel Mall dilengkapi medan letak kereta yang luas dengan kapasiti 2,543 petak dan kemudahan lain yang lebih selesa untuk pelanggan. Objektif utama kami membuka Jakel Mall ini bukan saja untuk keselesaan pelanggan, malah untuk memberi lebih banyak pilihan fabrik daripada pelbagai kualiti.

“Pelanggan tidak perlu risau mengenai harga dan ia masih kekal sama walaupun kami telah berpindah ke Jakel Mall kerana ia milik Jakel sepenuhnya menerusi pelaburan sebanyak RM400 juta yang dibuat pada 2012 untuk memperoleh menara utara dan selatan kompleks beli-belah CapSquare,” katanya di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, keseluruhan fabrik di Jakel Mall menampilkan koleksi baru yang lebih menarik dan ia juga boleh didapati di semua rangkaian Jakel seluruh negara.

Mohamed Faroz berkata, pihaknya menyasarkan seramai 10,000 orang sehari yang akan berkunjung ke Jakel Mall dan memperuntukkan perbelanjaan modal (Capex) sebanyak RM100 juta tahun ini untuk stok baru.

Beliau berkata, selain fabrik, Jakel Mall turut menawarkan barangan lain seperti perabot antik, perhiasan rekaan dalaman, fabrik langsir dari Eropah, pakaian moden Muslimah dan pakaian berseragam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:18 AM