HOCK San
HOCK San

LBS Bina Group Bhd (LBS) merekodkan jualan RM1.1 bilion setakat 29 November lalu melebihi jangkaan awal RM1 bilion yang ditetapkan.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, prestasi jualan dan tempahan yang memberangsangkan membuktikan syarikat menawarkan produk yang tepat dan memenuhi permintaan pasaran.

"Keadaan ini turut disokong oleh sambutan luar biasa terhadap projek pembangunan kami melalui kempen pemasaran yang berkesan iaitu #DudukRumah Deals Plus," katanya.

Menurutnya, pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rumah.

"Ditambah pula dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahap rendah akan meringankan lagi beban pembeli rumah.

"Kami mengalu-alukan inisiatif Belanjawan 2021 sebagai bajet yang inklusif dan berfokus untuk memberi sokongan yang besar terhadap ekonomi," katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada 15 November lalu, LBS mencatatkan jualan tidak dibil sebanyak RM2.23 bilion, angka yang akan menyumbang kepada keuntungan syarikat untuk dua hingga tiga tahun akan datang.

"Di samping mendukung agenda kerajaan untuk membangunkan negara, LBS terus membina projek berdasarkan tiga tunggak utama kami iaitu mampu dimiliki, kesalinghubungan dan komuniti," katanya.

LBS mempunyai 20 projek yang dibangunkan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5.2 bilion.

Sementara itu, LBS mengumumkan keuntungan sembilan bulan berakhir 30 September lalu sebanyak RM802 juta, lebih rendah sedikit berbanding sebanyak RM1 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, bagi tempoh suku ketiga, prestasi kumpulan meningkat dengan ketara berbanding dengan suku kedua sebelumnya disebabkan pemulihan operasi perniagaan dan peningkatan aktiviti pembinaan setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Bagi tempoh suku dikaji, LBS mencatatkan pendapatan sebanyak RM336 juta dan untung sebelum cukai RM43 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 7:05 AM