PELANGGAN BSN boleh membuat penangguhan sementara pembayaran pinjaman yang terjejas berikutan penularan Covid-19. FOTO Arkib NSTP
PELANGGAN BSN boleh membuat penangguhan sementara pembayaran pinjaman yang terjejas berikutan penularan Covid-19. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

PELANGGAN Bank Simpanan Nasional (BSN) boleh memohon untuk penangguhan sementara pembayaran pinjaman yang terjejas berikutan penularan Covid-19.

Ketua Eksekutif BSN Datuk Yunos Abd Ghani berkata, BSN komited untuk terus membantu pelanggannya terutama dalam saat seperti ini.

“Atas dasar itu, kami menawarkan moratorium sehingga enam bulan untuk bayaran ansuran bulanan berkuat kuasa hari ini ke atas semua pembiayaan pelanggan kami yang terjejas akibat pandemik ini.

“Kepada pelanggan kami terutama yang diwajibkan bercuti tanpa gaji, mereka yang melakukan perjalanan harian untuk bekerja ke Singapura atau Thailand serta pelanggan mikro BSN yang terjejas agar menghubungi BSN bagi memohon penangguhan sementara pembayaran ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Yunos berkata, pelanggan boleh menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1300881900 untuk keterangan lanjut.

Bulan lalu, BSN mengumumkan penawaran penangguhan sementara pembiayaan pelanggannya yang mungkin terjejas kerana tidak dapat berurusan dengan pembekal tertentu akibat penularan wabak ini di negara yang berisiko.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 9:38 PM