BANK Rakyat menyasarkan untuk mengurangkan sumbangan segmen pembiayaan peribadi kepada 70 peratus pada 2025.
BANK Rakyat menyasarkan untuk mengurangkan sumbangan segmen pembiayaan peribadi kepada 70 peratus pada 2025.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menyasarkan untuk mengurangkan sumbangan segmen pembiayaan peribadi kepada 70 peratus pada 2025 bersandarkan kepada pelan hala tuju lima tahun terbaharu bank koperasi itu.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso berkata, ketika ini sumbangan segmen itu kepada bank berkenaan adalah sebanyak 89 peratus manakala baki selebihnya adalah produk pembiayaan patuh syariah yang lain.

Beliau berkata, dengan pelan hala tuju baharu itu atau lebih dikenali sebagai BR25, pihaknya merancang untuk mempelbagaikan lagi penawaran produk kepada pelanggannya.

“Kami mahu memperkukuhkan kedudukan Bank Rakyat sebagai Bank Lestari dan terus kekal relevan melalui perancangan lima tahun sehingga 2025 itu.

“Selama ini segmen pembiayaan peribadi menjadi penyumbang kepada bank ini dan berharap dengan BR25 ia dapat membantu untuk kami meluaskan tawaran produk pembiayaan patuh syariah yang lain.

“Antara produk berkaitan termasuklah pembiayaan bagi sektor korporat, perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perumahan,” katanya pada majlis pelancaran BR25 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

BR25 digubal sebagai persiapan untuk berdepan dengan tiga bidang utama yang mengubah landskap perbankan global iaitu pendigitalan, globalisasi dan perundangan.

Sebelum ini, Bank Rakyat juga mempunyai pelan lima tahun yang akan tamat pada 2022 bagi memastikan bank itu menjadi lebih berdaya maju dan mampan.

Noripah berkata, BR25 juga dilaksanakan bagi mewujudkan Evolusi Aspirasi supaya Bank Rakyat bersedia menjadi bank masa depan atau Bank 4.0 menerusi tiga fasa utama.

“Kami berharap dapat merangka masa depan bank dengan membina model perniagaan yang merangkumi perubahan terhadap evolusi teknologi serta jangkaan untuk membantu lebih banyak pelanggan daripada golongan milenial.

“Dari perspektif identiti, kami mahu merebut ruang yang masih tidak diteroka oleh bank lain di negara ini dalam mengintegrasikan kelestarian dalam strategi perniagaan bank ini,” katanya.

Katanya, untuk tempoh empat bulan berikutnya, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama pihak berkepentingan yang berada dalam ekosistem MED untuk melaksanakan strategi yang terdiri daripada lima teras dan 20 evolusi untuk fasa pertama.

Fasa kedua BR25 pula dijangka dilaksana dan diumumkan pada November ini iaitu serentak dengan fasa ketiga dalam memantau pencapaian dua fasa terawal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 8:18 AM