BIG Apple Donuts & Coffee dan Digital Durian   menjalin usaha sama strategik sebagai usaha untuk meneroka segmen pasaran baharu.
BIG Apple Donuts & Coffee dan Digital Durian menjalin usaha sama strategik sebagai usaha untuk meneroka segmen pasaran baharu.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Jenama donat, Big Apple Donuts & Coffee dan Digital Durian, pengeluar animasi popular Didi & Friends menjalin usaha sama strategik sebagai usaha untuk meneroka segmen pasaran baharu.

Kerjasama itu juga pada masa sama dapat menarik lebih ramai pengikut serta pelanggan baharu bagi kedua-dua jenama terbabit selain menambah baik produk, strategi perniagaan dan pemasaran baharu.

Pengarah Urusan, Big Apple Donuts & Coffee, Keiji Sunami berkata, sebagai penanda aras untuk kerjasama terbabit, jenama donat ini bersama Didi & Friends akan melancarkan barisan produk baharu yang akan ke pasaran menjelang Januari 2020.

“Penjenamaan Didi & Friends dan Big Apple Donuts & Coffee akan mewujudkan imej jenama yang lebih relevan kepada golongan kanak-kanak dan ibu bapa.

“Kerjasama ini juga akan menggabungkan dua pihak dalam penyediaan akses eksklusif kepada kemudahan teknologi dan membantu pasukan Big Apple Donuts & Coffee dalam meningkatkan kebolehpasaran dan hasil promosi yang lebih baik,” katanya.

Sunami berkata, dengan 74 cawangan di seluruh negara dan pengiktirafan penjenamaan Didi & Friends, kerjasama berkenaan membolehkan pihaknya membawa impak perniagaan yang lebih besar kepada pelanggannya.

Menurutnya, kerjasama itu turut membolehkan pihaknya memberikan transformasi kepada pelanggan jenama donat itu, di mana ia dapat menyediakan strategi perniagaan, program dan portfolio yang lebih komprehensif.

“Kerjasama ini juga dapat meningkatkan imej penjenamaan kami bersama-sama melalui pembabitan dalam platform digital,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kreatif, Didi & Friends (Pasaran Domestik), Akmal Aziz berkata, kerjasama dua pihak itu boleh dianggap sebagai satu gabungan yang hebat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 7:02 AM