Kamaruzzaman (enam dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Husain (lima dari kanan), Wan Abdillah (kanan) serta empat lagi wakil organisasi. FOTO Mahzir Mat Isa
Kamaruzzaman (enam dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Husain (lima dari kanan), Wan Abdillah (kanan) serta empat lagi wakil organisasi. FOTO Mahzir Mat Isa
Idris Musa


MENYAMBUT ulang tahun ke-35 tahun ini, Hospital Pakar Tawakkal KPJ (KPJ Tawakkal) akan menampilkan pelbagai inisiatif termasuk pakej '35 Istimewa' yang akan merapatkan lagi hubungannya dengan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Tawakkal, Muhammad Badri Hussin berkata, pakej itu adalah antara lima inisiatif utama ditampilkan termasuk 35 jenis ujian darah, 35 peratus diskaun melalui pakej pemeriksaan khas, tambahan 35 peratus diskaun bagi pakej fisio selepas pembedahan dan bilik percuma bagi ibu berusia 35 tahun.

"Inisiatif lain di bawah lima inisiatif utama ialah percuma penilaian bahu asas pertama oleh Perunding Pembedahan Ortopedik dan Sukan Dr Sivalingam.

"Pakej istimewa lain ditawarkan pada sambutan ini," katanya pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun ke-35 KPJ Tawakkal di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis gilang-gemilang itu dirasmikan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Hadir sama Pengerusi KPJ Tawakkal Jasimah Hassan.

Pada majlis itu, KPJ Tawakkal memberikan penghargaan kepada kakitangannya yang lama berkhidmat.

Selain itu, KPJ Tawakkal menyampaikan sumbangan RM35,000 kepada tujuh organisasi termasuk Titipan Kasih Harian Metro yang diwakili Pengarang Eksekutif Komersial Husain Jahit, NST Outreach Fund (Ketua Komunikasi Korporat The New Straits Times Press Wan Abdillah Wan Nawi) dan Bersamamu TV3 (Eksekutif Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad Muhammad Nadzrein Johari).

Selain itu, Yayasan Nanyang Press, Yayasan Orang Buta Malaysia, Institut Masalah Pembelajaran dan Autisme Malaysia serta Mutiara Johor Corporation.

Mengulas lanjut, Muhammad Badri berkata, sesetengah tawaran itu sudah bermula dan akan berterusan sepanjang tahun ini, malah ada ditawarkan ketika perayaan dan majlis khas.

"Penilaian percuma oleh Dr Sivalingam dan pemeriksaan pergigian percuma oleh pakar pergigian KPJ Tawakkal akan diadakan sepanjang tahun," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk membersihkan Sungai Gombak.

"Pada Ramadan, kami akan memasak dan mengedarkan bubur lambuk untuk 35,000 orang termasuk pesakit dan kakitangan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 11:41 PM