ANWAR (kanan) memeriksa barisan kawalan kehormat Tentera Jerman  di Federal Chancellery.
ANWAR (kanan) memeriksa barisan kawalan kehormat Tentera Jerman di Federal Chancellery.

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) memperoleh potensi pelaburan RM46 bilion dan eksport RM2.4 bilion daripada Misi Perdagangan & Pelaburan ke Jerman dan Perancis yang berakhir baru-baru ini.

Misi yang diketuai oleh Menteri Miti, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu meliputi bandar Berlin dan Hamburg di Jerman, selain Paris di Perancis dari 11 hingga 19 Mac 2024.

Misi di Jerman adalah sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu dari 11 hingga 15 Mac 2024.

Delegasi misi yang merangkumi pegawai dari Miti, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengadakan pertemuan peringkat tinggi bersama syarikat Eropah dalam sektor disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) seperti semikonduktor, automotif, aeroangkasa, kereta api, bahan kimia, peralatan perubatan selain jentera dan peralatan.

Antara syarikat terkemuka yang ditemui semasa misi itu ialah X-Fab, Melexis, Infineon Technologies AG, Airbus Group, Schott Glass, BMW, Nexperia, B-Braun, Michelin, Institut de Soudure (IS) Groupe dan Simaero.

Syarikat terbabit berkongsi pelan pelaburan mereka dan minat untuk membina kerjasama strategik di Malaysia, yang akan menyumbang kepada landskap ekonomi Malaysia terutamanya dari segi pemindahan teknologi dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dalam negara.

Dari segi potensi eksport, Tengku Zafrul mengadakan perbincangan bersama Airbus Group, Deutsche Bahn, Safran, dan X-Fab (Perancis) untuk mengukuhkan lagi minat mereka untuk menyumber dari Malaysia.

Tengku Zafrul berkata, interaksi dengan syarikat-syarikat Jerman dan Perancis adalah sebahagian daripada libat urus strategik untuk memberikan perkembangan terkini kepada mereka mengenai pelaksanaan NIMP 2030, komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan pantas projek selain pendirian mesra perniagaan untuk mengembangkan pelaburan dan perdagangan.

"Pintu kita sentiasa terbuka untuk syarikat dari Jerman dan Perancis, dua pendorong utama pertumbuhan ekonomi dan kuasa besar perindustrian Eropah, yang akan merintis jalan bermakna ke arah perindustrian semula negara kita serta melonjakkan ekonomi.

"Libat urus ini juga disasar untuk meningkatkan pembabitan Malaysia dalam rantaian nilai global, sekali gus memudah cara integrasi ke dalam pasaran antarabangsa.

"Dengan membina hubungan kerjasama dengan pemain-pemain penting di Jerman dan Perancis, Malaysia mahu memperluaskan kehadiran dalam perdagangan global dan memperkukuhkan kedudukan sebagai rakan yang boleh dipercayai serta berdaya saing dalam pelbagai industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 7:00 AM