SATU kertas cadangan pelaksanaan Eksplorasi Angkasa Malaysia atau 'Malaysia Space Exploration 2030 (Malaysia Space-X 2030) yang menggariskan strategi 10 tahun merangkumi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
SATU kertas cadangan pelaksanaan Eksplorasi Angkasa Malaysia atau 'Malaysia Space Exploration 2030 (Malaysia Space-X 2030) yang menggariskan strategi 10 tahun merangkumi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
Muhammad Saufi Hassan


MALAYSIA tidak pernah meminggirkan pembangunan sektor angkasa sebaliknya langkah itu diperkukuhkan lagi susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Angkasa Malaysia yang sudah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

RUU berkenaan sudah digubal serta diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Oktober dan diluluskan pada Dewan Negara pada 9 Disember lalu yang menekankan tentang aspek keselamatan dalam semua aktiviti angkasa yang dilaksanakan.

Hasilnya, satu kertas cadangan pelaksanaan Eksplorasi Angkasa Malaysia atau 'Malaysia Space Exploration 2030 (Malaysia Space-X 2030) yang menggariskan strategi 10 tahun merangkumi perancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia penting untuk memacu pertumbuhan sektor angkasa negara dan mewujudkan ekosistem angkasa negara yang komprehensif.

"Antara inisiatif utama yang sedang dirancang dan dilaksanakan menerusi Malaysia Space-X 2030 adalah Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN), Pelan Strategik Industri Angkasa Negara, pemerkasaan kapasiti infrastruktur angkasa negara dan empat lagi elemen lain.

"Kementerian yakin melalui program serta inisiatif ini akan dapat membangunkan keupayaan teknologi angkasa tempatan bagi memperkukuhkan ekosistem sektor angkasa negara supaya lebih berdaya saing dan kondusif.

"Kita juga menjangkakan bahawa menjelang 2030, sektor angkasa negara disasarkan dapat menyumbang sekurang-kurangnya 0.3 peratus atau RM3.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan baharu," katanya kepada #ITMetro.

Beliau berkata, perancangan itu juga menjangkakan pasaran data sebanyak RM40 juta setahun menjelang 2030 kelak dan ia mencerminkan negara serius dalam memperkukuhkan sektor angkasa.

Menerusi kertas Dasar Angkasa Negara 2030 turut meletakkan bahawa ia bertujuan untuk pembangunan teknologi memacu kemajuan aplikasi strategik termasuk sektor pertahanan.

Ia juga termasuk kepada teknologi pelengkap seperti perkhidmatan mudah alih yang membolehkan akses kepada teknologi aplikasi untuk kegunaan sosial, persekitaran dan ekonomi.

Rasional pembabitan negara dalam bidang angkasa untuk peningkatan kebergantungan kepada keupayaan angkasa bagi aktiviti harian, pemodenan negara dan perkembangan ekonomi.

Bagi membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti berkaitan angkasa, negara perlu meratifikasi instrumen serta triti antarabangsa berkaitan angkasa.

Secara perspektif yang lebih besar, dasar berkenaan akan memberi ruang serta platform khusus kepada negara untuk terus mempergiatkan sektor angkasa pada masa depan.

Ia juga bakal dijadikan garis panduan sejajar dengan matlamat negara untuk mencapai status negara maju kelak dan sektor angkasa ini memainkan peranan yang besar pada masa akan datang.

Perkara itu juga menunjukkan negara fokus untuk memperkukuhkan sektor angkasa negara serta dapat mewujudkan jaringan rantaian pekerjaan berkaitan pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 7:00 AM