DR ZETI
DR ZETI
Bisnes HM


AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana harga berubah, ASN Imbang (Aset Campuran) 1 (dahulunya dikenali sebagai Amanah Saham Nasional 3 Imbang), bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2019.

Dana itu mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit, dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM55.53 juta.

Ini adalah hasil dividen sebanyak 4.51 peratus berdasarkan nilai aset bersih (NAB) dana pada 27 November 2019.

Jumlah pembayaran ini akan turut memberi manfaat kepada lebih 46,600 pemegang unit yang memegang lebih 1.31 bilion unit.

Setakat 31 Oktober 2019, ASN Imbang 1 mencatatkan pendapatan bersih ternyata sebanyak RM55.87 juta untuk 11 bulan pertama tahun kewangannya.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, pasaran ekuiti domestik terus terjejas oleh ketidaktentuan yang meningkat berikutan perkembangan di beberapa bidang, dalam persekitaran antarabangsa dan domestik.

“Setakat 20 November 2019, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mencatatkan pulangan tahunan pada kadar -5.3 peratus berbanding -5.9 peratus bagi tempoh sama pada tahun 2018.

“Justeru, prestasi dana unit amanah ASNB akan turut dipengaruhi oleh perkembangan yang tidak dapat dielakkan ini.

“Walaupun ekonomi global yang mencabar dijangka berterusan, PNB kekal komited dalam melaksanakan objektif pelaburan untuk menjana pulangan yang berpatutan menerusi portfolio pelaburan seimbang dan kepelbagaian pelaburan,” katanya.

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN Imbang 1 adalah berdasarkan unit yang dipegang dan NAB setakat 30 November 2019.

Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun mereka pada 1 Disember 2019.

Semua urus niaga ASN Imbang 1 telah ditangguhkan buat sementara waktu mulai 29 November 2019 hingga 1 Disember 2019 untuk pengiraan pengagihan pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 7:42 PM