Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bersama Presiden dan ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (kiri) ketika mengumumkan dividen Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) sebanyak 6.00 sen seunit. FOTO Syarafiq Abd Samad
Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bersama Presiden dan ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (kiri) ketika mengumumkan dividen Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) sebanyak 6.00 sen seunit. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nabil Basaruddin


PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan bagi lima dana yang diurus oleh syarikat pengurusan unit amanah miliknya.

Pengumuman berkenaan membabitkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk kategori dana harga tetap manakala ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1 bagi dana harga berubah.

Pengagihan pendapatan bagi pemegang unit ASB 2 adalah 6.00 sen seunit yang akan mengagihkan RM610.7 juta kepada 404,706 pemegang unit yang memiliki 10.4 bilion unit amanah.

Sementara itu, pemegang ASM akan menerima pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit dengan jumlah pengagihan berjumlah RM1.1 bilion kepada 541,758 pemegang unit merangkumi 19.5 bilion unit amanah.

Pendapatan bagi ASN Equity 3 adalah sebanyak 4.10 sen seunit dan ASN Imbang 2 pula pengagihan pendapatan 4.20 sen seunit serta ASN Sara 1 sebanyak 5.00 sen seunit.

Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, PNB mengagihkan dividen sebanyak RM15 bilion pada 2018 iaitu jumlah terbesar yang pernah diagihkan sejak penubuhan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

Beliau berkata, pencapaian itu juga menjadikan dividen kumulatif berjumlah RM187 bilion sejak PNB ditubuhkan.

"Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

"Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASB 2 dan ASM akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam setiap akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik kepada akaun pemegang unit pada 1 April 2019," katanya pada pengumuman prestasi Tahunan 2018 PNB di Kuala Lumpur, hari ini.

Zeti berkata, pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1 adalah berdasarkan baki yang dipegang pada akhir tahun kewangan setiap dana.

Katanya, pengagihan yang diisytiharkan oleh dana harga berubah itu akan dilaburkan semula semula sebagai unit tambahan pada 1 April 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 2:20 PM