Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 5.00 sen seunit bagi tabung unit amanah harga berubah, Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2017.

Pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran berjumlah RM64.77 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 43,000 pemegang unit dengan pegangan lebih 1.29 bilion unit ASN 3.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, prestasi positif pasaran bagi tahun kewangan semasa ASN 3 membantu kumpulan untuk memberi pulangan kompetitif kepada pemegang unit ASN 3.

Menurutnya, bursa tempatan memperoleh manfaat melalui prestasi ekonomi kukuh dan harga komoditi tinggi dengan aliran masuk daripada pelabur asing begitu ketara pada separuh pertama 2017.

“Bagaimanapun, separuh kedua tahun 2017 menyaksikan pasaran terjejas dengan kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian terhadap polisi kewangan Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Indeks FBM KLCI menunjukkan peningkatan prestasi untuk tahun kewangan semasa ASN 3 dengan catatan pulangan harga 5.9 peratus, satu pemulihan selepas dua tahun mengalami penurunan pasaran berturut-turut.

Beliau berkata, ASN 3 mencatat pendapatan bersih RM62.25 juta hingga 31 Oktober lalu dan membantu ASN 3 mencatatkan hasil dividen 4.9 peratus dan menyumbang kepada jumlah pulangan hingga kini berjumlah 5.9 peratus.

Ia sejajar dengan fokus strategi dana untuk menjana pulangan seimbang menerusi pelaburan dalam ekuiti dan pendapatan tetap.

“Ia turut seiring dengan strategi PNB supaya Dana Harga Berubah lebih memberi fokus dalam menjana jumlah pulangan kepada pemegang unit,” katanya.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASN 3 berdasarkan pegangan unit pada 30 November 2017 di mana agihan pendapatan itu akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan dan dikreditkan secara automatik ke akaun pemegang unit pada 1 Disember berdasarkan nilai aset bersih (NAV) ASN 3 pada 30 November 2017.

Sementara itu, agihan pendapatan untuk pemegang unit yang melanggan ASN 3 melalui Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikreditkan terus ke akaun KWSP masing-masing.

Semua urus niaga bagi ASN 3 di ibu pejabat, cawangan dan ejen ASNB seluruh negara ditangguhkan mulai 28 November hingga 3 Disember 2017 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun ASN 3 melalui portal baru ASNB, myasnb.com.my atau di ibu pejabat, cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 4 Disember.

Penyata pengagihan pendapatan dan laporan tahunan tabung amanah akan dihantar kepada pemegang unit dalam tempoh dua bulan selepas pengagihan pendapatan diumumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 4:52 AM